Wednesday, July 21, 2010

PAS, Umno tidak akan kerjasama



SHAH ALAM, 21 Julai : Tidak wujud persamaan antara UMNO dan PAS yang membolehkan kedua-dua parti tersebut mengadakan kerjasama.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata, perjuangan UMNO adalah untuk kaum Melayu semata-mata dan berbeza dengan perjuangan PAS yang lebih global apabila meletakkan Islam sebagai teras dan membela semua kaum.

“Saya tidak merasakan kerjasama antara PAS dan UMNO akan berlaku kerana tiada titik persamaan untuk dibincangkan. Ini memandang perjuangan UMNO lebih sempit skopnya iaitu tertumpu kepada orang Melayu sahaja.

“Saya tidak melihat perpecahan dalam kalangan orang Melayu kecuali berbeza fahaman politik. Pada saya, tiada apa yang perlu dibincangkan (mengenai perpaduan) sebaliknya UMNO perlu belajar daripada PAS dalam usaha menyatukan kaum-kaum lain dalam parti itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, N Balasubramaniam berkata, UMNO sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menerima dasar Islam yang diperjuangkan PAS memandangkan parti itu terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.

“Tentulah kita suka jika UMNO dan PAS dapat bersatu lebih-lebih lagi jika UMNO boleh mengikut dasar PAS. Ahli PAS dan UMNO masing-masing adalah daripada kalangan orang Melayu, jadi apa salahnya jika UMNO mengikut dasar PAS demi kebaikan orang Melayu sendiri.

“Jika kami sendiri dapat menerima dasar PAS yang memperjuangkan Islam walaupun ahlinya bukan daripada kaum Melayu,kenapa tidak UMNO melakukan perkara yang sama? Malah, di dalam al-Quran pun ada menyebut bahawa Islam itu akan membawa kebaikan kepada seluruh alam,” katanya.

No comments: