Wednesday, July 21, 2010

Kelantan juara Pesta Wau Antarabangsa


BACHOK , 21 Julai : Kelantan muncul juara keseluruhan mengatasi Wilayah Persekutuan pada kejohanan Pesta Wau Antarabangsa 2010 yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok kelmarin.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-28 ini, memperkenalkan beberapa acara baru seperti wau tahan lasak, pertandingan wau atas perahu dan menerbangkan 1,000 wau secara serentak.


Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kejohanan tersebut mencapai matlamat untuk mempamerkan kesenian dan keunikan wau-wau yang terdapat di negara ini, di samping menjalinkan muhibah dikalangkan peserta, penonton dan peminat-peminat wau seluruh negara.

“Di samping menarik pelancong asing datang ke negeri ini, acara kesenian dan kebudayaan ini juga dapat memberi pendedahan kepada golongan muda supaya seni budaya yang dilihat semakin pudar ini, dapat dihidupkan semula di kalangan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyampai hadiah kepada peserta.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berhasrat untuk membawa peserta dari luar negara pada kejohanan edisi seterusnya selepas ini.

Katanya, sambutan yang dipamerkan peminat wau memberangsangkan dengan kehadiran penonton di luar jangkaan, sekali gus memberi kekuatan untuk pihak penganjuran meneruskan edisi seterusnya dengan lebih besar dan meriah.

“Selain itu, penganjur juga mengharapkan kawasan kejohanan ini dijadikan tapak kekal sekali gus memudahkan pembangunan pasaran untuk kejohanan ini mudah dilaksanakan,” katanya.SH

No comments: