Monday, August 9, 2010

30 daripada 8000

Picture 1067



















SHAH ALAM, 9 Ogos :
Exco agama kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hassan Ali melahirkan kebimbangan beliau berkemungkinan ramai di kalangan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau meletak jawatan kerana tidak dapat memenuhi ketetapan dalam Indeks Prestasi Utama (KPI).

Kira-kira 30 AJK masjid dan surau didakwa meletak jawatan setiap bulan dan ini termasuk tugas nazir, imam dan bendahari.

Beliau menjelaskan terdapat beberapa kemungkinan timbul yang menjadi faktor kepada permasalahan itu seperti AJK terbabit gagal memenuhi 15 syarat yang telah ditetapkan dalam KPI.

Malah golongan yang dilantik menjalankan tanggangungjawab itu bukan dari kalangan politik namun mereka terdiri daripada golongan profesional yang memiliki PhD.

"Kebanyakan AJK di bandar adalah dari golongan profesional maka saya tidak fikir wujud percanggahan politik kerana yang dilantik itu bukan golongan politik tetapi profesional dan cerdik pandai seperti berlaku di Gombak Setia. Nazir dan timbalannya ada PhD.

"Kemungkinan kita nak mereka penuhi 15 KPI yang dikemukakan…maka orang yang letak jawatan tak dapat memenuhinya atau mungkin mereka tiada masa untuk memberi komitmen untuk kerja itu," katanya kepada Free Malaysia Today semalam. ‘Masjid Wahana Transformasi Umat’

Dr Hassan yang juga Adun Gombak Setia berkata kini terdapat banyak perubahan di masjid terutama dari segi pengisian program serta meletakkan konsep baru iaitu ‘Masjid Wahana Transformasi Umat’.

Beliau menerangkan,"oleh sebab tuntutan wahana yang berat, maka ramai yang meletakkan jawatan sebagai AJK kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Sekarang banyak perubahan terutama membabitkan pengisian program. Sekarang diwajibkan pengisian kuliah, tiga bulan ada qiamulail. Ada kuliah wanita, remaja dan pada masa yang sama mahu memasyarakatkan masjid sebagai pusat membeli belah barangan halal dan berbentuk riadah," tambahnya.

Ujar beliau, "konsep ini di bawa agar masjid menjadi wahana transformasi umat. Mungkin disebabkan tuntutan ini berat maka mereka cadangkan orang lain untuk memikulnya," katanya.

Tiada persefahaman?


Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih belum mendapat maklum balas daripada masjid dan surau mengenai jumlah AJK meletak jawatan seperti didakwa oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebelum ini.

Dr Hassan berkata, "rasa-rasa tidak mencecah angka itu, saya perlu dapat maklumat lanjut. Saya belum dapat maklum balas daripada masjid untuk sahihkan kenyataan Khusrin bahawa angka itu benar atau tidak.

Pada 3 Ogos lalu Khusrin dilaporkan berkata kira-kira 30 AJK masjid dan surau di Selangor termasuk nazir, bendahari dan imam meletak jawatan setiap bulan disebabkan tiada persefahaman sesama mereka.

"Perkara itu mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pemilihan AJK yang dibuat menerusi mesyuarat agung," dakwa beliau.

"Setiap bulan saya perlu tandatangan surat peletakan jawatan AJK purata antara 20 ke 30 orang. Jumlah itu masih kecil berbanding jumlah kesemua AJK di negeri ini iaitu kira-kira 8,000 orang.

"Tetapi kalau tidak diatasi segera, kita takut menjadi perbalahan dan mendatangkan masalah kepada pengurusan masjid dan surau," kata Khusrin.

No comments: