Monday, August 9, 2010

Potong subsidi kepada IPP

anwar-ibrahim1































BAYAN BARU, 9 Ogos :
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memikat perhatian para penyokong PKR pada majlis makan malam bertujuan mengumpul dana di sini semalam dengan memberi sekilas gambaran apa pentadbiran Pakatan Rakyat akan lakukan dalam

enam bulan pertama jika berkuasa kelak.

Subsidi kepada syarikat-syarikat penjana kuasa bebas (IPP – Independent Power Producer) akan dipotong selepas rundingan semula dibuat dan ahli akademik terbaik di negara ini, tanpa mengira bangsa, akan diamanahkan menyelia 20 universiti awam.

"Kita akan menjimatkan beberapa bilion ringgit dari potongan subsidi IPP dalam tahun pertama," kata Anwar di depan lebih 500 tetamu pada majlis jamuan itu.

"Kami akan memberitahu ahli-ahli akademik yang diamanahkan, mereka diberi masa tiga tahun untuk meningkatkan standard universiti, jika tidak mereka akan dipecat," kata Anwar ketika menggariskan satu lagi langkah berani yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, terang Anwar, "rakyat bertanya jika saya pasti dapat membawa perubahan di negara ini setelah berlaku berbagai kerosakan dalam negara ini. Saya beritahu mereka, jangan ragu mengenai keikhlasan dan kesungguhan saya untuk melaksanakan perubahan."

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengingatkan rakyat pelbagai kaum dari terperangkap dalam menentang pendekatan rasis Umno-Barisan Nasional berhubung isu-isu etnik.

"Kita mesti lihat kepada anggota masyarakat yang terpinggir di negara tanpa melihat dari kaca mata kaum yang digunakan oleh Umno-BN," nasihat beliau.

"Kita harus melihat mereka sebagai golongan miskin yang harus dibantu. Kita jangan menentang perkauman dengan menggunakan kefahaman sempit kita sendiri," katanya dengan menerima sorakan gemuruh.

"Dalam lipatan sejarah, gerakan dan pemimpin yang berjuang di atas dasar perkauman yang sempit hanya berjaya pada tempuh masa yang singkat. Kejayaan mereka hanya sementara dan mereka akan terhumban tidak lama selepas itu," tambah beliau.

Jurang yang lebih luas


Anwar menarik perhatian para tetamu mengenai jurang yang semakin melebar dalam pendapatan di antara mereka yang kaya dan yang miskin dalam semua kaum.

"Jurang di antara kaum ini sangat luas dan membimbangkan serta memperlihatkan karekter elitis dalam dasar Umno-BN," katanya.

"Negara kita diperintah oleh golongan kaya yang merebut kekayaan untuk anak-anak dan kroni mereka," dakwa Anwar.

"Kerajaan Pakatan Rakyat akan menyekat perampokan kekayaan negara dan pembaziran sumber-sumber yang sangat berleluasa," katanya.

Anwar merasa curiga tentang rundingan tanah dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), di mana bekas menteri pengangkutan dan presiden MCA sedang didakwa, bahawa ianya hanya melibatkan seorang individu sahaja.

"Saya tahu bagaimana proses pembuat keputusan dalam kabinet dijalankan apabila melibatkan perkara seperti ini," kata Anwar, bekas timbalan perdana menteri dan menteri penuh dalam kabinet pada pertengahan tahun 1980an dan sehingga beliau dipecat pada 1998.

"Rantaian tanggungjawab dalam perkara-perkara seperti pembelian tanah dalam PKFZ melibatkan ramai menteri, dan bukan seorang sahaja," katanya.

No comments: