Monday, August 9, 2010

Tertekan akibat tersepit



SHAH ALAM, 9 Ogos : Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek melabelkan negara Islam sebagai tidak progresif, kebelakang dan korup dilihat sebagai kenyataan pemimpin yang tertekan akibat tersepit dengan semangat perkauman UMNO dalam Barisan Nasional.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan tersebut dipercayai terkeluar akibat tekanan berterusan dihadapi pemimpin dan parti MCA yang dilihat dianaktirikan oleh BN.


“Soi Lek menjadi mangsa kepada semangat perkauman UMNO yang kini menjadi tulang belakang BN.


“Malah, negara Islam yang dibawa oleh UMNO bukanlah Islam yang progresif,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Beliau berkata, kenyataan tersebut juga akibat sikap kecewa dan iri hati atas kejayaan PAS memenangi rakyat bukan Islam menyokong parti tersebut dalam Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DPPP).


“Kenyataan yang dikeluarkan Soi Lek kononnya menuduh Islam mengancam kaum Cina di negara ini juga akibat manifestasi kegagalan MCA dalam mendapat sokongan rakyat, khususnya masyarakat Cina.


“Tekanan yang dihadapi MCA ini juga berpunca daripada UMNO dan BN yang dilihat tidak dapat menghulurkan bantuan memperkukuhkan parti itu,” katanya.

No comments: