Monday, August 9, 2010

Peguam Negara dituduh sorok dokumen


SHAH ALAM, 9 Ogos : Perbicaraan Inkues Teoh Beng Hock yang sepatutnya berjalan hari ini ditangguh lagi kepada 18 Ogos . Di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini menimbulkan tanda tanya ramai apabila peguam, Gobind Singh Deo meninggalkan mahkamah sambil berkata berlakunya ‘penyelewengan proses’.


Beliau menuduh Pejabat Peguam Negara menyembunyikan bukti penting yang membantu membongkar misteri kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui mati selepas disoalsiasat semalaman tanpa henti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Gobind mendesak Peguam Negara Abdul Gani Patail menjelaskan mengapa Kerajaan Malaysia cuba menyorokkkan bukti itu, yang berada dalam simpanan Pejabat Peguam Negara tiga bulan selepas pembantu kepada Exco Selangor itu ditemui mati.

"Adalah sukar bagi salah-seorang ahli Bar Malaysia untuk terus melibatkan diri. Sekarang sudah sampai masanya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan, kerana tidak mungkin kita dapat teruskan inkues ini tanpa dokumen-dokumen yang relevan," kata Gobind.

"Ada dokumen atau bukti tertentu dalam sorokan Peguam Negara. Ia tidak diberikan kepada kami sehingga selepas satu tahun perbicaraan, satu tahun mendesak, satu tahun menghadap bantahan SPRM, satu tahun keluarga mangsa merana," ujarnya.

"Bukti ini bukan bukti baru, kerana ia dalam simpanan mereka sejak Oktober. Hari ini, hari yang amat murung untuk keadilan," tegas Gobind lagi.

Gobind memberi amaran kepada Pejabat Peguam Negara bahawa pihaknya sama-sekali tidak akan tunduk kepada penyelewengan ini.

Gobind menjelaskan bukti penting itu terlalu penting dalam teka-teki kematian Teoh Beng Hock sehingga mampu mengubah halatuju inkues.
"Saya meminta Peguam Negara beritahu kami apa dokumen yang mereka enggan kemukakan itu. Dengan penuh hormat, saya minta Peguam Negara untuk tidak main-main kerana kejadian ini amat serius," katanya.

"Kami tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak. Jika perlu, kami akan buat permohonan meminta Peguam Negara menjelaskan kelakuannya di inkues ini," tegas Gobind.

Inkues tersebut telah ditangguhkan kepada 18 Ogos, manakala koroner pula telah memutuskan untuk tidak memanggil dua saksi yang dijadual memberi keterangan hari ini.

Mereka ialah Lee Wye Weng dan Mohd Harun Abdullah, yang telah disoalsiasat oleh SPRM pada petang yang sama Teoh disoalsiasat.

"Selepas satu tahun kes ini didengarkan, selepas kita telah melalui bedah siasat yang kedua, seminggu sebelum Dr Pornthip Rojanasunand tampil memberi keterangan, pihak Peguam Negara akui mereka ada bukti yang dimaksudkan itu dalam simpanan mereka," kata Gobind.

"Jelas sekali bukti ini terlalu penting, dan sepatutnya diberikan kepada kita dari awal lagi. Saya fikir dokumen ini mampu memberi impak pada inkues," tambah beliau.

No comments: