Saturday, September 18, 2010

Dedah statistik kes bunuh


GEORGETOWN, 18 Sept. : Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mendedahkan statistik kes pembunuhan terutama yang melibatkan kes pembunuhan berprofil tinggi sejak tahun 1974 demi kepentingan umum.


Karpal yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan menggesa supaya keseluruhan statistik kes bunuh yang direkodkan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sejak 1974 sehingga kini dapat diserahkan sebelum pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Oktober depan.


“Saya berharap dalam statistik tersebut merangkumi maklumat mengenai bilangan laporan polis diterima, angka kes yang telah dibawa ke mahkamah, kes yang berjaya diselesaikan ataupun kes tertuduh yang bebas, bagi tempoh 36 tahun dari tahun 1974.

“Saya berpendapat angka ini penting untuk diketahui khalayak umum dan perangkaan rasmi turut menjadi keperluan penting untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat kelak,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau juga turut menggesa kes Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakan lain yang menjadi mangsa pembunuhan kejam manusia yang bertopengkan binatang didakwa dan diadili sebaik mungkin oleh mereka yang berpengalaman.SH

No comments: