Saturday, September 18, 2010

Rasuah punca pelabur tak minat bukan kerana pembangkang

http://3.bp.blogspot.com/__t3_XOcHzbI/TJVzXou1WKI/AAAAAAAAW6g/7F8r2vaBmNA/s1600/fdi-umno.jpg

KUALA LUMPUR, 18 Sept:
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan cuba memberi gambaran serba indah tentang ekonomi negara biarpun hakikat adalah sebaliknya.

Beliau merujuk Laporan Bank of America Merill Lynch yang mendapati Malaysia kini antara negara yang tidak digemari para pelabur di Asia Pasifik selepas bank tersebut meninjau pandangan pengurus dana.

Kedudukan Malaysia jatuh dua anak tangga dari kedudukan sebelum ini iaitu di tangga ke-10, dan kini di kedudukan tercorot.

"Beberapa perkara mustahak yang sewajarnya diberi perhatian adalah pandangan para pelabur yang melihat Malaysia sudah tidak mampu bersaing dengan negara jiran yang begitu bertenaga maju ke hadapan seperti Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala kedudukan negara menurut tinjauan Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pula telah melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 negara.

"Berikutan perkembangan sebeginilah kita sangsi perincian Model Ekonomi Baru yang bakal diumumkan perdana menteri mampu memulihkan ekonomi negara yang lembab ini," katanya lagi.

Beliau turut sangsi hasrat kerajaan untuk menjana pelaburan bernilai RM2.2 trillion dalam masa 10 tahun, yang mana 92% dari jumlah tersebut datangnya dari pelaburan swasta, sedangkan para pelabur bertindak menjauhi pasaran negara.

"Secara tuntas saya tegaskan, para pelabur memberi keutamaan terhadap sistem keadilan yang bersih, iklim yang tidak rasuah dan culas serta kepimpinan negara yang meyakinkan.

"Pembentangan serta perincian dasar ekonomi namun menafikan perkara yang mendasar tersebut hanya akan disambut dingin," katanya menjelaskan punca berlaku keadaan sedemikian.

No comments: