Sunday, December 5, 2010

Gerakkan Geramm bantah kenaikan harga bahan api



















KUALA LUMPUR, 6 Dis. :
Angkatan Muda Keadilan (AMK) bercadang untuk menggerakkan Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) bagi membantah kenaikan harga bahan api — RON95, diesel dan gas, dan gula yang berkuat kuasa semalam.


Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya mahu kerajaan khususnya Perdana Menteri memberi justifikasi yang jelas dan bertindak untuk mengawal kenaikan harga barangan ini pada kadar yang segera.

"AMK juga tidak menolak sebarang kemungkinan untuk kembali menghidupkan Geramm dalam gelombang yang lebih besar demi menunjukkan perit jerih rakyat di sebalik kenaikan harga ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Shamsul Iskandar, sayap Pemuda PKR ini menolak sebarang bentuk justifikasi yang diberikan oleh kerajaan pusat berhubung dengan ‘pakej’ kenaikan harga barangan.

"Kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak lima sen seliter, kenaikan harga gas LPG sebanyak lima sen sekilogram dan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram jelas sekali membebankan rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Kenaikan ini, meskipun telah dijangka selepas kenaikan harga petrol RON97 sebanyak dua kali pada November dan beberapa hari lepas, adalah sesuatu yang mengejutkan kerana melibatkan empat barangan utama yang digunakan secara konsisten oleh rakyat dalam kehidupan seharian," kata beliau.

Shamsul Iskandar juga berkata, kerajaan pusat sepatutnya menggunakan apa jua frasa sama ada pengurangan subsidi, penstrukturan semula subsidi ataupun rasionalisasi subsidi, realitinya ia membawa satu konotasi sahaja iaitu "kenaikan harga barang secara domino."

"Pakej kenaikan harga ini pastinya mengesani harga-harga barangan mentah dan makanan lainnya.

"Kos sara hidup rakyat akan terus meninggi, yang tertindas kekal rakyat golongan pertengahan dan bawahan.

"Adalah sangat mengecewakan apabila kerajaan pusat masih lagi ‘menari’ dengan hujah yang sama saban waktu harga barangan di Malaysia masih terendah di kalangan negara pengeluar," kata beliau sambil mendakwa ia sebagai hujah dangkal yang sewajarnya tidak boleh dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan kerajaan sekalipun.

"AMK berpendapat di sebalik pelbagai program awangan Perdana Menteri seperti GTP, ETP, MBE dan pelbagai lagi akronim-akronim ciptaan Pemandu sehingga hari ini tidak ada satu pun impak nyata dan positif yang boleh dirasai oleh majoriti rakyat.

"Malah, kenaikan harga barang pula yang dihadiahkan kepada rakyat atas nama penstrukturan semula subsidi," kata beliau.

Harga petrol RON95 mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram mulai semalam - kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib.

Turut mengalami kenaikan ialah diesel, naik lima sen kepada RM1.80 seliter.

Ekoran pelarasan itu, RON95 akan dijual RM1.90 seliter.

Pelarasan itu juga membawa kepada kenaikan gas petroleum cecair kepada RM1.90 kilogram iaitu naik lima sen berbanding sekarang.

Kedua-dua bahan api petrol dan diesel serta LPG dan gula mengalami kenaikan pada Julai lalu apabila dasar pelarasan diperkenalkan dalam usaha kerajaan mahu mengurangkan subsidi.

Petrol RON97 yang tidak disubsidi telah mengalami kenaikan pada 1 November dan 1 Disember lalu, tetapi kerajaan tidak membuat pengumuman atas alasan ia perubahan kerana pengapungan harga.

Dengan pelarasan kali ini, kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan RM621.9 juta dari produk petrol RON95, RM213.2 juta (diesel), RM63.5 juta (LPG) dan RM283.5 juta (gula) setiap tahun ataupun RM1.18 bilion.

Pada Julai lalu, kerajaan menjangkakan harga tidak akan naik sehingga akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala berkata, pelarasan subsidi diperlukan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

"Kami melakukan yang ini (pelarasan subsidi) untuk memastikan defisit kita dapat dikurangkan. Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

"Kami akan memastikan kita hidup dalam lingkungan keupayaan (kita)," kata beliau pada majlis taklimat pengumuman pelarasan subsidi di pejabatnya petang tadi.

Kata beliau, walaupun ada kenaikan lima sen, harga jualan RON95 dan juga LPG serta diesel dan gula masih rendah berbanding di Indonesia.

"Lebih rendah berbanding Singapura dan Thailand," katanya.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


No comments: