Thursday, December 9, 2010

Macam 'Mahkamah Kangaroo'

kangaroo

KUALA LUMPUR, 9 Dis. : Imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa tercalar di bawah kerajaan Umno-Barisan Nasional apabila mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dilabel sebagai 'mahkamah kangaroo'.

Gelaran itu yang diberikan oleh anggota bebas parlimen Australia, Senator Nick Xenophone susulan usaha jawatankuasa itu untuk menggantung Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa dipanggil pembelaannya berkaitan isu Apco- 1Malaysia-One Israel.


Semasa mengadakan sidang media di lobi parlimen bersama Anwar semalam, Xenophone berkata beliau mendapati keengganan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membenarkan Ketua Oposisi itu mempertahankan dirinya adalah suatu yang amat mengejutkan.


"Saya sedar akan kewujudan jawatankuasa ini kerana saya tahu di Senat kami pun terdapat jawatankuasa yang sama. Saya amat terkejut dan hairan anda mempunyai sebuah jawatankuasa yang tidak membenarkan anggota dewan yang dituduh tidak diberi peluang untuk membela diri.


"Mungkin anda biasa dengan ungkapan mahkamah kangaroo di Australia, ini bagi saya adalah lebih teruk daripada mana-mana mahkamah kangaroo," kata beliau.


Xenophone berkata adalah perkara dan persefahaman lumrah di parlimen dalam mana-mana negara Komanwel bahawa mana-mana anggota dewan yang didakwa melakukan kesalahan haruslah di beri hak pembelaan.


Beliau juga menyentuh mengenai perjalanan perbicaraan pertuduhan liwat terhadap Anwar yang menurutnya terdapat kelompongan dalam menegakkan keadilan.


"Perbicaraan Anwar telah mendapat perhatian meluas di Australia berhubung ketidakadilan dalam proses mahkamah dan dalam hal yang sama jika pihak kami juga melakukan perbuatan yang sedemikian kami juga mahu Malaysia membuat teguran, jadi sebab itu saya berada di sini.


"Saya ke sini bukan sahaja untuk memerhati prosiding perbicaraan tetapi juga memberi sokongan sebagai anggota bebas.


Bercanggah dengan kenyataan pimpinan Umno-BN, Xenophine berkata Anwar sangat dihormati oleh Parlimen Australia kerana perjuangan beliau untuk demokrasi dan keadilan.


"Saya percaya isu di sini ialah keadilan kerana Australia dan Malaysia adalah sahabat lama dan karib. Apabila sudah lama berkawan kadangkala anda perlu beritahu satu sama lain mengenai apa yang benar.


Xenophone menegaskan lebih 60 ahli parlimen Australia telah menandatangani surat sokongan terhadap Anwar dan isu perbicaraan beliau akan dibangkitkan semula dalam parlimen negaranya Februari depan.


"Perlu saya tekankan petisyen sokongan terhadap Anwar daripada ahli-ahli parlimen pihak kerajaan dan juga oposisi adalah sesuatu yang jarang berlaku dan menakjubkan. Jarang sekali sokongan menyeluruh seperti ini diperolehi," ijar beliau lagi.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


No comments: