Thursday, December 9, 2010

Roboh surau, bukti ketuanan Melayu Umno












KUALA LUMPUR, 9 Dis. : Tindakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu merobohkan surau Madrasah Al-Falah Kampung Kerinchi, di sini yang berusia lebih 12 tahun amat dikesali oleh PAS, memandangkan tindakan itu jelas gagal memahami perasaan orang ramai terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama.

Pihak DBKL tidak seharusnya mengambil semudah itu, memandangkan ia melibatkan tempat ibadat umat Islam yang telah dibina sekian lama oleh penduduk tempatan dan dengan wang ringgit serta titik peluh mereka sendiri.

AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menyuarakan kekasalan itu berkata, lagikan rumah ibadat penganut agama lain termasuk Kristian, Buddha dan Hindu pun tidak boleh diperlakukan sebegitu mudah, apatah lagi dengan tempat ibadat umat Islam, sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Menurut beliau, DBKL sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Jika orang ramai ternyata sudah tidak bersetuju untuk dirobohkan surau itu, pihak DBKL tidak sepatutnya merobohkannya walaupun atas tujuan pembangunan.

"Jadi dengan itu, sesiapa pun tidak boleh menyalahkan pendududuk di kawasan itu untuk mempertahankan surau itu dari dirobohkan. Mereka telah membinanya sendiri sejak sekian lama, jadi mereka memanglah berhak mempertahankannya dari dirobohkan dan dari sebarang pencerobohan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, jika hendak dirobohkan juga, ia tentunya menimbulkan tanda tanya dan kerisauan di kalangan penduduk tempatan, lebih-lebih lagi jika tindakan itu dilakukan tanpa sebarang jaminan kepada mereka mengenai surau yang akan menjadi gantinya, berapa lama surau yang akan menggantikan surau itu akan diperolehi dan di manakah pula mereka hendak mendirikan solat berjamaah dan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan lain sepanjang surau baru itu akan disiapkan?

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan DBKL yang mengeluarkan notis untuk merobohkan surau tersebut bertarikh 10 November lalu yang berakhir hari ini untuk tujuan pembangunan.

Ekoran notis itu, kira-kira 80 ahli kariah surau tersebut yang bimbang surau itu akan dirobohkan telah bermalam di surau itu sejak malam semalam sehingga pagi ini dan disertai beberapa kumpulan mahasiswa daripada universiti berdekatan.

Pengerusi surau itu, Jasni Abdullah memberitahu, dua tiga hari sebelum ini, beliau telah menghubungi bahagian penguatkuasaan DBKL dan beliau telah diberikan jaminan mulut bahawa mereka tidak akan merobohkan surau itu.

"Mereka tidak memberi tempoh masa (penangguhan) dan tidak memberi (sebarang) alasan. Walaupun jaminan mulut yang diberikan, 80 ahli kariah tetap bermalam di surau ini sejak malam semalam. Pihak kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Kami juga turut menunaikan solat hajat supaya surau ini tidak dirobohkan," tegasnya.

Menurut beliau, pada mulanya, beliau berasa terkejut setelah mendapat notis sebulan yang lalu daripada DBKL untuk merobohkan surau tersebut yang telah beroperasi sejak 1998 lalu. Tambahan pula, surau tersebut mendapat bantuan pembinaan daripada DBKL termasuk perbelanjaan mengecat pada dua bulan lalu.

Berikutan penerimaan notis berkenaan, pihaknya menulis surat pada 16 dan 24 November lalu kepada DBKL memohon agar pihak berkuasa menarik balik notis itu. Namun pihaknya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan.

Penduduk juga, katanya, telah menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada 3 Disember lalu. Bagaimanapun, sehingga hari ini, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada menteri itu. Sehingga kini, pihaknya masih lagi dalam proses rundingan dengan DBKL.

Mengulas perkara itu dengan lebih jauh, Dr Mujahid bimbang jika tindakan tersebut dilakukan oleh pihak DBKL disebabkan surau tersebut dilabel sebagai kubu penyokong PAS di kawasan itu.

"Tetapi saya harap perkara itu tidak berbangkit dan kebimbangan saya itu tidak berasas. Itulah harapan saya. Tambahan pula pengerusi surau itu sendiri pun sudah pun menafikan perkara itu," katanya.

Dalam perkembangan pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (GAMBAR) turut hadir ke surau itu untuk bersama penduduk tempatan. Beliau berharap agar pihak DBKL dan menteri berkenaan menjawab persoalan aduan daripada pihak penduduk mengapa surau itu mahu dirobohkan?

"Pihak surau telah menggunakan saluran diplomasi, tetapi surat (mereka) tidak dijawab," katanya dalam sidang media di surau berkenaan.

“Baru dua bulan DBKL sendiri mengecat bangunan (surau) ini (sehingga) cantik dan indah, malah Ketua Pengarah DBKL sendiri dilaporkan pernah hadir program pada Ramadan lalu... tiba-tiba notis ini dikeluarkan dengan mereka tidak melayan memorandum dan surat-surat ahli kariah ini," kata Nurul sekali lagi dalam sidang medianya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pihak surau ada mengadu berhubung perkara itu kepadanya, tetapi beliau meminta mereka berhubung terus dengan pihak berkuasa supaya "tidak ada elemen politik", namun beliau amat kesal kerana surat mereka tidak diendahkan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR yang telah meluangkan masa kira-kira sejam sejak 8 pagi di surau berkenaan akan menghantar surat kepada Raja Nong Chik memohon penjelasan berhubung perkara tersebut.

Kira-kira 70 orang termasuk mahasiswa dan wartawan berada di surau berkenaan. Sehingga tengah hari ini, tiada pegawai penguatkuasa DBKL hadir ke surau berkenaan. Bagaimanapun, dari pemerhatian Harakahdaily terdapat dua pegawai polis di surau itu.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: