Sunday, December 12, 2010

Umur 55 ke atas 'kayu mati'

MTUC Dakwa MEF Hina Pekerja Malaysia Berkenaan Usia Bersara














KUALA LUMPUR, 12 Dis.: Pemimpin kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang menyifatkan pekerja-pekerja yang mencecah usia lebih lima dekad sebagai “kayu mati” atas alasan ia satu penghinaan terhadap kaum pekerja negara ini, lapor The Malaysian Insider.

Kenyataan MEF membantah usaha melanjutkan usia persaraan sektor swasta bagi rakyat Malaysia menjangkaui 55 tahun menunjukkan kurangnya integriti organisasi itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) J. Solomon hari ini.

“Adalah jelas MEF merupakan sebuah organisasi yang tidak diperlukan, yang bertindak bertentangan dengan kepentingan pekerja-pekerja Malaysia.

“Merujuk manusia sebagai ‘kayu mati’ adalah satu penghinaan cukup mendalam khususnya dalam konteks budaya rakyat Malaysia,” katanya.

Solomon menambah, pihaknya terkejut kerana MEF sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam melahirkan bangkangan mereka terhadap cadangan menaikkan usia persaraan sektor swasta.

Kini sektor awam mengamalkan dasar usia bersara 58 tahun.

Malah kata beliau, pihaknya juga terkejut kerana MEF masih boleh mempertikaikan kewibawaan kajian yang dikendalikan Bank Dunia berhubung isu itu.

“Kita tidak perlu melangkah untuk mengadakan hujah statistik dan boleh mewujudkan kewajaran sama ada tahap pendapatan telah menjunam dengan bercakap kepada pekerja biasa Malaysia.

“Adalah ketara kualiti kehidupan rakyat telah merosot. Kita juga perlu mengiktiraf bahawa kerajaan sendiri memperakui satu pertiga pekerja Malaysia memperoleh gaji di bawah garis kemiskinan,” katanya.

Dalam kenyataan media kelmarin, Presiden MEF Datuk Azman Shah Haron berkata, pihaknya tiada rancangan untuk mengubah dasar usia persaraan sektor swasta daripada 55 tahun sekarang.

Kata beliau, majikan mahukan fleksibiliti untuk mengekalkan pekerja-pekerja yang terbaik dan tidak mahu dipaksa mempertahankan pekerja yang dianggap sebagai “kayu mati.”

“Dalam kes pekerja tidak boleh melakukan kerja mereka, mereka menjadi kayu mati dan itu yang kami mahu elakkan,” kata Azman lagi.

Katanya, majikan boleh mengekalkan pekerja mereka atas dasar kontratual selepas usia 55 tahun.

Sehubungan itu, kata Solomon, MEF bertindak bertentangan dengan pendekatan kerajaan yang mahu mentrasformasikan ekonomi dan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

“Model Baru Ekonomi mengiktiraf perkara ini dan MEF (nampaknya) bertindak bertentangan dengan wawasan negara,” katanya.

No comments: