Thursday, December 23, 2010

Yaakob Sapari sahut cabaran Noh Omar

Exco sedia dialog isu padi
http://www.selangorkini.com.my/my/wp-content/uploads/2010/12/yaakob-sapari-22.bmp
SHAH ALAM, 23 Dis. : Dr Yaakob Sapari bersedia untuk mengadakan mesyuarat bersama Datuk Seri Noh Omar dan serta pegawai- pegawai berkaitan untuk menyelesaikan isu benih dan baja padi.

Exco Selangor itu berkata, beliau akan menyemak semula surat yang dihantar oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkaitan isu itu.

Menurutnya, pengetahuan yang kurang berkaitan pertanian menyebabkan petani kerugian hampir separuh daripada pendapatannya sekarang.

“Datuk Seri Noh tiada pengetahuan berkaitan pertanian. Kesannya tender benih diberikan kepada syarikat yang tiada pengalaman mengendalikan benih padi.

“Beliau juga tidak tahu cara dan teknik terbaik untuk meningkatkan hasil petani seperti mempercepatkan pengeluaran padi,” katanya.

Katanya, tindakan menswastakan benih padi dan baja juga merupakan salah satu faktor menyumbang kepada kerugian petani.

“Sebelum proses penswastaan, sistem pengurusan benih padi adalah terkawal dan teratur dan baja serta benih padi yang diterima adalah berkualiti.

“Selepas penswastaan diperkenalkan, baja dan benih padi yang diberikan kurang berkualiti hingga menyebabkan banyak berlaku padi angin,” katanya.

Katanya, untuk mengelakkan kerugian berterusan, petani mengambil inisiatif sendiri dengan mendapatkan bekalan daripada Perak.

“Petani terpaksa menggunakan kos yang lebih tinggi untuk mendapatkan kualiti yang lebih baik.

“Penswastaan juga menyebabkan petani perlu berbayar lebih tapi kualiti yang diterima mengecewakan,” katanya.

Noh kelmarin bersedia untuk berdialog secara terbuka dengan Yaakob bagi membincangkan isu padi. SH

No comments: