Sunday, January 16, 2011

Enakmen Jenayah Syariah akan dipastikan kemas

Pastikan Enakmen Jenayah Syariah Dilaksana Kemas, MB Bincang Dengan YDP Dan Datuk Bandar


PETALING JAYA 16 Jan. : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid akan berbincang dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan di negeri ini bagi memastikan pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah melarang umat Islam bekerja di premis menjual arak dilakukan secara kemas dan tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

Menurut Khalid, perbincangan esok di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bakal memperkenalkan penyelesaian yang mengambil kira kepentingan pihak pemilik lesen premis, sensitiviti masyarakat Islam serta pekerja yang terlibat dalam perkara ini.

"Walaupun kita menjalankan dasar menjaga masyarakat Islam, kita takkan bebankan masyarakat bukan Islam. Oleh itu kita kena fikirkan, kalau dapat beratus pekerja dalam industri yang terpaksa mencari kerja lain, itu juga tanggungjawab kita untuk beri masa supaya ia dapat dilakukan dengan baik," katanya.

"Kita akan ada satu tempat yang mana keputusan itu akan dibuat secara bersama dan saya akan mengetuai kumpulan tersebut supaya dapat diaturkan dengan lebih baik," ujarnya lagi.

Khalid berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cat kepada kawasan Taman Medan sempena Program Menaiktaraf Kualiti Hidup Rakyat di Petaling Jaya anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Khalid berkata Exco Perumahaan dan Kerajaan Tempatan Ronnie Liu dan Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Datuk Hassan Ali mempunyai peranan masing-masing berhubung Enakmen Jenayah Syariah.

Menurut beliau kedua-dua mereka melaksanakan kerja menurut portfolio Exco masing-masing bagi menyelesaikan masalah.

"Semua pihak nak selesaikan masalah. Boleh jadi YB Ronnie nak selesaikan masalah yang dihadapi pemilik lesen, Datuk Hassan Ali nak selesaikan masalah masyarakat Islam yang terjebak dalam kerja ini. Dua-dua nak selesaikan masalah sama, jadi Menteri Besar akan cantumkan kedua masalah dan selesaikan bersama-sama."

No comments: