Sunday, January 2, 2011

Khir Toyo punya hal

Khusrin: Legasi Khir Toyo Punca Putrajaya Belakangi Kerajaan Negeri



SHAH ALAM 3 Jan. : Krisis perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) Selangor yang berlaku kini didakwa Faekah Husin berpunca dari bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo yang membiarkan Ketua Setiausaha Negara(KSN) melantik Datuk Ramli Mahmud tanpa merujuk kepada perlembagaan negeri.

Jelas Setiausaha Politik Menteri Besar itu, ini adalah permulaan Putrajaya belakangkan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kini.

"Beliau telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila KSN melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu tanpa berunding terlebih dulu dengan Menteri Besar.

"Kerajaan Selangor enggan meneruskan ketidakpedulian Khir terhadap Perlembagaan kerana ini akan membolehkan KSN menyalahguna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"KSN telah mengabaikan kebijaksaan pengurusan yang mana tanggungjawab perlu disertai dengan kuasa," katanya.

Ujar Faekah, ini adalah kerana, KSN melantik Khusrin dengan tidak mengambil kira kelayakan serta kredibiliti dan tanpa berunding dengan Menteri Besar.

Tegas Faekah, Umno-Barisan Nasional merupakan 'dalang' sebenar yang telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Negara pada 1993 tetapi ketika ini cuba bersembunyi di sebalik istana untuk meneruskan agenda politik jahat.

"Khir Toyo tidak memiliki moral dan kelayakan untuk mengkritik Kerajaan Selangor termasuk Jawatankuasa Pemilihan yang bertanggungjawab menemubual pegawai kerajaan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kami mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa ini dibentuk kerana Menteri Besar mahu memastikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

"Jawatankuasa ini juga mahu memastikan pelantikan dilakukan secara profesional dan adil. Ini juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka,"jelasnya.

Dalam pada itu, Faekah turut menegaskan bahawa jika kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan dipimpin Pakatan Rakyat perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan.

No comments: