Monday, January 24, 2011

Undi proksi gagal setelah banyak tentangan

SPR Jamin Undi Proksi Tidak Dilaksana


PUTRAJAYA 24 Jan. : Pimpinan Pakatan Rakyat mendapat jaminan daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa undi proksi tidak akan dilaksanakan dalam pilihanraya umum akan datang.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali kepada media selepas bertemu dengan Pengerusi Suruhanjaya Piliharaya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di sini hari ini bagi membincangkan isu-isu pilihanraya sebelum PRU-13 di sini.

Sebelum ini SPR berura-ura mengemukakan cadangan untuk memperkenalkan sistem undi proksi bagi membolehkan seseorang pemilih boleh mewakilkan pihak lain untuk mengundi bagi pihaknya yang dikhuatiri mendedahkan kepada segala kemungkinan penyelewengan dan salah guna.

Namun cadangan ini mendapat bantahan daripada pelbagai parti yang menyifatkan cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan.

"Tentang undi proaksi kita dapat satu jaminan yang jelas bahawa ini tidak akan dapat dilaksanakan oleh SPR kita telah mendapat jawapan daripada pengerusi bahawa undi proksi ini tidak akan dilaksanakan," kata Mustapha Ali.

Tambah Mustapha Ali lagi pemimpin Pakatan Rakyat diberi jaminan bahawa tentera Wataniah tidak akan dimasukkan sebagai undi pos.

"Tentang kemungkinan undi pos undi tentera dan sebagainya itu sebahagian dari undi pos yang kita dengar kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan akan diwujudkan tentera Wataniah ini di setiap kawasan Parlimen,jadi kalau dikategorikan sebagai tentera dia akan jadi undi pos,tapi kita telah dapat jaminan tadi bahawa tentera wataniah tidak akan dimasukkan dalam undi pos," katanya.

No comments: