Tuesday, February 8, 2011

Amizudin tidak gentar hadapi saman Rais

Amizudin hairan kenapa blog beliau sahaja yang menjadi sasaran menteri itu

PETALING JAYA: Pengendali blog sharpshooter.blogspot, Amizudin Ahmat tidak gentar untuk berhadapan tindakan saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Menteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kehairanan apabila blog beliau yang dijadikan sasaran saman menteri terbabit dan bukannya pihak lain yang juga turut mengulas isu yang sama di dalam mana-mana penerbitan.

“Cuma pelik sikitlah, sebab dalam banyak-banyak media yang menulis isu yang sama, tetapi saya pula yang ‘terpilih’, tak apalah, saya bersedia, tiada apa yang hendak digentarkan.

“Migrant Care, yang mempertahankan kenyataan mereka yang mendakwa menemubual pihak terbabit ataupun WikiLeaks sendiri yang mencetuskan isu ini contohnya tidak pula disaman.” katanya.

Beliau juga memberitahu beliau hanya mengetahui tindakan saman terhadap beliau hanya diketahui melalui media dan sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam yang mewakili Rais.

“Saya cuma tahu perkara ini melalui berita. Sampai sekarang saya masih belum terima apa-apa surat dari mahkamah atau peguam pihak satu lagi itu.

Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai

“Jika dipanggil ke mahkamah, saya akan hadir. Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Sekali melangkah pantang undur,” kata Amizudin ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang enggan mengulas panjang berhubung isu ini ketika dihubungi bagaimanapun sempat mengucapkan terima kasih kepada Rais yang menyebabkan jumlah pengunjung blog beliau mengalami peningkatan yang ketara.

“Maaflah, setakat ini itu sahaja yang dapat saya katakan, tak boleh nak ulas panjang tentang isu ini, cuma terima kasih kepada Rais kerana tindakan (saman) dia, pengunjung blog sharp shooter meningkat dengan ketara,” katanya dengan nada berseloroh.

Sementara itu menurut satu sumber rapat beliau, beberapa peguam termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menyatakan kesediaan untuk mewakili Amizudin sekiranya beliau dipanggil ke mahkamah.

“Setakat ini beberapa peguam telah menawarkan diri secara percuma untuk mewakili Amizudin termasuklah Shamsul,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu yang menyamakan kes tersebut dengan kisah Raja Namrud dan nyamuk yang pernah berlaku pada zaman Nabi Ibrahim juga mempertikaikan keengganan Rais menyaman pihak lain yang turut memainkan peranan untuk mendedahkan isu ini.

No comments: