Tuesday, February 8, 2011

Tiada perbincangan bersama pengasas Hindraf



SHAH ALAM 9 Feb.: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Surendren mendakwa artikel bertajuk " Anwar in bid to win back Indian support" yang dikeluarkan 8 Februari lalu oleh portal berita The Malaysian Insider mempunyai beberapa kesalahan fakta.

Surendren menafikan dakwaan dalam artikel tersebut bahawa beliau diminta Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai satu panel jawatankuasa bagi menyelesaikan masalah kaum India.

Dalam satu kenyataan media ringkas hari ini, Surendren mendedahkan bahawa tiada sebarang perbincangan dimulakan bersama pengasas Hindraf P. Uthayakumar seperti yang dilaporkan dalam artikel sama.

"Artikel itu melaporkan (PKR) akan membuka perbincangan dengan pengasas Hindraf P. Uthayakumar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan 'hal Uthayakumar bersama pimpinan PAS dan DAP. Faktanya, hal ini tidak pernah diputuskan dan perkara ini tidak dibincangkan," tegas Surendren.

Artikel tulisan Baradan Kuppusamy itu menyatakan bahawa Anwar memutuskan perkara itu ketika mesyuarat tertutup bersama kira-kira 60 pemimpin PKR, NGO dan individu keturuan India di ibu pejabat PKR minggu lalu.

Artikel itu turut menyatakan 'sumber' yang tidak dinamakan mendedahkan perkara yang dibincangkan bahawa Anwar menyeru masyarakat India supaya tidak bergaduh dan bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

Baradan turut menyatakan 'sumber' itu menyatakan kerisauan Anwar kerana sokongan kaum India yang dilihat makin luntur kepada PKR.

Menurut Surendren lagi, masalah kaum India serta komuniti lain yang ditindas sentiasa menjadi keutamaan PKR dan Pakatan Rakyat tetapi hanya mampu diselesaikan sepenuhnya dengan kuasa Kerajaan Pusat.

"Masalah (kaum ditindas) ini adalah disebabkan oleh pengabaian dan sikap tidak peduli Kerajaan Barisan Nasional terhadap komuniti-komuniti ini selama lebih 50 tahun.

Walaupun usaha dilakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan masalah ini, perubahan komprehensif hanya boleh muncul jika Kerajaan Persekutuan menumpukan semua sumber dan usaha politik bagi mengatasi masalah ini," tegas Surendren.

No comments: