Tuesday, February 8, 2011

Muktamad : Calon PAS wakili PR di Merlimau

Merlimau: Calon PAS Muktamad, Tiada Percanggahan


PETALING JAYA 8 Feb.: PKR menjelaskan keputusan meletakkan calon PAS untuk bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Merlimau adalah muktamad.

Ini sekaligus menolak spekulasi percanggahan pendapat antara PKR dan PAS untuk bertanding di kerusi tersebut.

Dalam sidang media pagi tadi, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyifatkan Pakatan Rakyat secara muafakat bersetuju mengekalkan kerusi kepada PAS untuk bertanding di PRK Merlimau 6 Mac nanti.

Jelasnya, walaupun terdapat cadangan meletakkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar sebagai calon mewakili PKR, Azmin berkata ia hanya sebahagian daripada isu perbincangan Pakatan Rakyat semalam.

"Kita bincang cadangan Shamsul mewakili pandangan PKR Cabang Jasin bukan kapasiti beliau sebagai ketua AMK. Beliau adalah Ketua Cabang Jasin dan merupakan seorang tokoh tempatan dan telah lama berkhidmat dengan masyarakat di kawasan berkenaan," jelas beliau.

Tambah Azmin, parti itu mengambil kita pandangan semua pihak termasuk PAS dan DAP untuk mengenalpasti kekuatan maksima bagi meletakkan wakil Pakatan Rakyat yang mampu merampas kerusi tersebut yang disandang Barisan Nasional sebelum ini.

"Maka dalam mesyuarat PR semalam kita menghormati pandangan dan maklumbalas yang dikemukakan Shamsul, tapi pada masa yang sama dalam perbincangan berkenaan kita telah mengambil kira semua pandangan yang dikemukakan termasuk PAS dan DAP. Akhirnya kita membuat keputusan untuk mengekalkan kerusi DUN Merlimau kepada PAS dan ini diterima baik Shamsul Iskandar.

"Beliau sekadar memberi pandangan untuk perbincangan. Tidak salah bagi kita mendengar dan menghormati pandangan beliau. Akhirnya PR telah bermuafakat untuk bersama-sama membantu PAS dalam pilihanraya kecil kali ini," katanya.

Azmin turut menolak dakwaan bahawa PAS tidak berhasrat untuk bertanding di DUN Merlimau justeru jelasnya Pakatan Rakyat akan memberi sokongan kuat kepada parti itu sepertimana pilihanraya kecil lalu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Merlimau kosong apabila penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan mewakili Umno-BN meninggal dunia akibat serang jantung 20 Januari lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Putra.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan 6 Mac bagi pilihanraya kecil kali ke 15 DUN Merlimau.

Sementara itu, PAS akan mengadakan mesyuarat untuk meneliti senarai calon pada pilihanraya kecil itu pada 13 Februari ini.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, kerusi Merlimau diwakili calon PAS, Jasme Tompang, sebelum itu pada pilihanraya umum 2004 ia diwakili calon PKR S Jayanthas.

No comments: