Tuesday, February 8, 2011

Bantuan guaman kepada Adun Sri Muda selaras perjuangan PR



SHAH ALAM 9 Feb.: Sokongan dan Bantuan kewangan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kepada ADUN Sri Muda Suhaimi Shafiei tepat dan selaras dengan prinsip keadilan dan demokrasi yang dijulang Pakatan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa, sebab paling jelas dalam hal ini ialah Suhaimi menghadapi tuduhan bermotif politik dan undang-undang zalim oleh Kerajaan Barisan Nasional dan menjadi kewajipan bagi Kerajaan Negeri Selangor membantu beliau.

Sivarasa turut memberi contoh betapa sebelum ini Kerajaan Selangor turut pernah membantu mereka yang ditahan di bawah undang-undang zalim BN seperti mereka yang ditahan ketika Protes Harga Air Selangor pada Disember lalu di bawah Akta Polis yang juga satu lagi akta zalim BN.

"Sebab paling jelas Kerajaan Selangor membantu Suhaimi ialah kerana beliau menghadapi tuduhan bermotif politik di bawah undang-undang 'drakonian' yang digubal pada zaman kolonial bagi menghalang kebebasan bersuara. Dalam hal itu sahaja, Pakatan Rakyat Selangor, sebagai kerajaan yang menyokong demokrasi penuh, berkewajipan menyokong dan mempertahankan beliau," jelas Sivarasa dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjawab dakwaan Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang dan Pengerusi NGO pro UMNO, Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairudin dalam portal Malaysia Kini kelmarin bahawa bantuan membiayai kos guaman Suhaimi sebagai membazir dan melambangkan korupsi.

Suhaimi dituduh dibawah akta Hasutan 1948 kerana penulisan di blognya didakwa biadap dan menderhaka kepada Sultan Selangor oleh UMNO dan beberapa NGO.

Sivarasa menyatakan Keng Liang dan Hamidzun sebagai 'kurang' memahami tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan setiap yang dituduh mendapat keadilan.

Justeru Sivarasa menyatakan betapa tiada bantahan sepatutnya dibuat terhadap kerajaan negeri yang mahu membantu mereka yang teraniaya mendapat peluang dalam membela diri.

"Dalam bahasa mudah, Kerajaan PR Selangor menepati prinsip mereka dengan memberi bantuan ini dan selaras dengan prinsip menentang penahanan berunsur politik menggunakan undang-undang zalim dan menindas ini," katanya lagi.

Dalam kenyataan media yang sama,Sivarasa mencadangkan sistem bantuan guaman di Malaysia ini perlu dirombak semula kerana jauh ketinggalan dari segi peruntukan dan menjadikannya lebih efektif.

Sivarasa meyatakan betapa negara lain seperti Australia, United Kingdom dan Canada membelanjakan berbilion ringgit tahunan bagi membawa sistem bantuan guaman yang efektif dan memastikan rakyat mereka mendapat pembelaan yang bersesuaian.

"Sampai masa Kerajaan Pusat BN menyedari peruntukan tahunan RM 25 juta untuk membiayai sistem bantuan guaman kita perlu dibesarkan. Kita sepatutnya membelanjakan lebih perkapita untuk membiayai sistem yang benar-benar efektif bagi mereka yang ditahan dan direman di lokap polis," tegas beliau.

No comments: