Tuesday, February 1, 2011

Banjir : Kerajaan Pakatan bantu kerajaan BN

Selangor bantu mangsa banjir

SHAH ALAM , 2 Feb. : Kerajaan Selangor akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang, Melaka dan Johor sebagai satu usaha berterusan setelah berjaya membantu mangsa banjir di Kelantan dan Kedah tahun lalu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, beliau bersama beberapa pemimpin negeri akan turun menghulurkan bantuan berupa keperluan asas di Johor mulai esok hingga 4 Februari 2011.

Manakala, bagi Pahang pula, beliau berkata, pihaknya akan turun ke kawasan yang mengalami musibah tersebut pada 5 Februari untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

”Kita akan bantu mangsa banjir ini, setibanya di lokasi yang terjejas kami akan menganalisis kawasan manakah yang teruk terjejas untuk mendapat perhatian khusus.

”Saya sendiri akan turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, tindakan berterusan Kerajaan Negeri ini menunjukkan bahawa pihaknya tidak memilih rakyat di sesuatu kawasan sahaja.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa menganggap musibah banjir seperti ini sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama tanpa mengira fahaman politik.

”Saya kini masih lagi berada di Kelantan bagi meneruskan usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa di sana, dan kemudian kita akan beralih ke selatan tanah air pula,” katanya.

Kerajaan Selangor sebelum ini pernah menghulurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir di Kelantan, Kedah dan juga Pakistan.

Kelmarin, banjir di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Sabah dilaporkan bertambah buruk dan mengorbankan tiga nyawa selain beribu orang dipindahkan.

Dua mangsa yang terkorban melibatkan kejadian banjir di Johor manakala satu lagi kes kematian akibat banjir berlaku di Melaka.

No comments: