Tuesday, February 1, 2011

“Walaupun kalah, saya tidak pernah berputus asa dan akan berkhidmat sepenuhnya untuk pengundi di sini"- Cikgu Mala

Cikgu Mala tidak serik

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi_0l8pLZzF5xz1skJHej1oow_USRL08ka50f6hN9cntfXqoiqK7CkwedKh-q3yBecV9IlmAGD9IkdZmM4kdc08_SrKB1L7h2TsokczXb08tsc-DP0HTx7kn1iD3wkW2xoW6hkfGjiajqM/s1600/164783_175799195788674_100000757857458_338225_2770150_n.jpgSHAH ALAM, 2 Feb. : Calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Normala Sudirman bersedia untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti itu.

Menurutnya, walaupun mengalami kekalahan dengan majoriti 3,707 undi, beliau menerimanya dengan hati yang tenang dan berazam terus berkhidmat terhadap penduduk kawasan itu.

“Walaupun kalah, saya tidak pernah berputus asa dan akan berkhidmat sepenuhnya untuk pengundi di sini. Saya sedia untuk bertanding lagi sekiranya diberi pilihan kerana sebelum ini telah ditarbiahkan untuk 'wala' (patuh) kepada kepimpinan.

“Saya akan terus menumpukan perhatian kepada parti dan sekiranya diberi amanah oleh Pas, saya akan bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu memandangkan kerjaya saya adalah untuk mendidik masyarakat mengenai landskap politik,” katanya.

Normala atau dikenali dengan Cikgu Mala ketika dihubungi Sinar Harian semalam berkata, beliau kini banyak melibatkan diri dengan aktiviti kemanusiaan terutamanya membantu mangsa banjir yang melanda negeri itu.

Mengulas mengenai hala tuju dalam bidang kerjaya, beliau memberitahu akan berusaha menumpukan kepada tugas yang dapat membantunya menjana pendapatannya sekeluarga.

“Walaupun memberikan perhatian penuh kepada parti, saya akan menumpukan juga kepada tugas untuk menjana pendapatan keluarga.

“Sehingga kini belum lagi saya terfikir akan perancangan mengenai kerjaya seperti mengajar atau membuka kelas tuisyen, ia bergantung kepada keadaan masa yang ada jika ia tidak menjejaskan tumpuan terhadap keluarga,” katanya

Normala berkata, serangan peribadi yang diterima sepanjang tempoh berkempen tidak menjadi penghalang kepada semangat yang ada dalam dirinya untuk meneruskan perjuangan.

“Apa yang paling penting dalam hidup ini adalah pengiktirafan daripada Allah, bukan pengiktirafan manusia. Saya percaya, Allah akan melindungi individu yang dianiaya dan akan memberikan pahala kepada mereka yang istiqamah.

“Sekali lagi, saya menerima keputusan yang diberikan pengundi dengan berlapang dada dan ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada wakil rakyat baru, Mohd Azahar Ibrahim yang diberi mandat oleh pengundi DUN Tenang,” katanya.SH

No comments: