Wednesday, February 16, 2011

Kalau alasan tak ada duit nak bayar tambang, kerajaan negeri boleh tanggung

Kerajaan Negeri Sedia Tanggung Dr Pornthip Rojanasunand


SHAH ALAM 16 Feb.: Kerajaan Negeri Selangor bersedia menanggung perbelanjaan pakar Patologi tersohor dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand bagi membolehkan beliau mengikuti prosiding mendiang Teoh Beng Hock.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Dr Pornthip sebelum ini tidak tersenarai sebagai seorang saksi dalam kes Siasatan Suruhanjaya Diraja kematian mendiang Teoh Beng Hock, bagaimanapun kerajaan negeri berpendapat beliau berhak dipanggil semula dalam memberikan pandangan beliau untuk membantu menyelesaikan kes tersebut.

"Kerajaan Negeri bersedia untuk membiayai tambang dan juga urusan Dr Pornthip untuk mengikuti Suruhanjaya Diraja mendiang Teoh Beng Hock," katanya.

Difahamkan senarai nama saksi dalam Suruhanjaya itu ditentukan Jabatan Peguam Negara.

Jabatan Peguam Negara membuang nama Dr Pornthip sebagai salah seorang saksi dalam inkues Beng Hock daripada senarai saksi yang disediakan untuk kegunaan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Beng Hock.

Suruhanjaya tersebut akan menyiasat kematian Beng Hock serta keadaan yang membawa kepada kematiannya.

Suruhanjaya itu ditubuh berikutan bantahan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pengahkiaman terbuka oleh Inkues Beng Hock yang memutuskan pembantu politik itu tidak membunuh diri mahupun dibunuh.

Teoh Beng Hock, 30, Setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu antara lain akan menyiasat sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Beng Hock berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya selain mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu.

No comments: