Wednesday, February 16, 2011

Selepas P.Pinang , Selangor pula akan bantu pelajar ke Mesir

Kerajaan Negeri Akan Bantu Pelajar Selangor Di Mesir


SHAH ALAM 16 Feb. : Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar Selangor yang menuntut di Mesir supaya mereka boleh menyambung semula pengajian yang tergendala.

Hal itu disuarakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di hadapan 2,500 pelajar bersama-sama ibu bapa dalam pertemuan anjuran kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak, malam tadi.

"Pelajar-pelajar di bawah tajaan zakat dan di bawah mana-mana tajaan yang lain, oleh kerana anda sekarang (melanjutkan pengajian) di Mesir,kita mempunyai tanggungjawab kepada saudara. Jadi ibu-bapa, saya dan exco mempunyai tanggungjawab supaya anda dapat menyambung pengajian dengan baik di Mesir. Ini janji kita," katanya.

Menurut Khalid, usaha akan dilakukan dengan sebaik mungkin sama ada di pihak ibu bapa dan juga kerajaan negeri bagi menjamin pelajar-pelajar dapat pulang menyambung pengajian yang tertunda.

Malah katanya, soal kewangan tidak perlu dikhuatirkan kerana kerajaan negeri akan mengikhtiarkan cara yang terbaik supaya pelajar-pelajar ini dapat pulang ke Mesir.

"Saudara jangan takut tentang kewangan negeri Selangor. Duitnya ada tetapi saudara diurus oleh orang yang dipanggil, Exco, kadang-kadang mereka ini kedekut dalam menjaga duit rakyat. Mereka jaga betul, tapi duitnya banyak," katanya dalam nada bergurau.

Dalam ucapannya Tan Sri Khalid turut mengingatkan bahawa anak-anak merupakan harta yang paling penting, bukan hanya kepada ibu bapa, malah kepada negeri dan negera.

Lantaran itu katanya tidak ada sebab mengapa nasib anak-anak tidak diuruskan dengan baik.

"Kita ingin membawa negeri Selangor ini ke satu tahap yang mana semuanya menggunakan tenaga kita,(ia) sangat penting. Sebab itu bila ada sahaja pergolakan, anak-anak kita ini harta kita. (Anaka-anak) bukan ladang-ladang atau gelang-gelang (emas), bukan duit. Tetapi inilah harta kita yang paling penting," jelasnya.

Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan pelbagai kursus selama setahun kepada pelajar-pelajar negeri itu sementara menunggu masa untuk kembali ke Mesir.

Antara kursus yang disediakan ialah kursus Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Komputer dan Kewangan yang memakan masa selama enam bulan hingga setahun di Universiti Industri Selangor (Unisel) yang diberikan secara percuma selain yuran daftar.

Dianggarkan seramai 1,200 pelajar dari Selangor yang sedang belajar di beberapa universiti dan IPT di Mesir dan keutamaan kursus akan diberikan kepada pelajar tajaan kerajaan negeri menerusi Lembaga Zakat Selangor seramai 600 orang.

Turut hadir bersama-sama Khalid malam tadi ialah lima barisan exconya iaitu Datuk Dr Hassan Ali, Rodziah Ismail, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Iskandar Abu Samad.

No comments: