Monday, March 14, 2011

‘DNA’ merujuk kepada Najib bukannya Anwar

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhj4h8Hp4V2hn_UqxFMDAy3PT3QN-koOQbD_iSb8qljIsOaQixoq-BJXvubc57Su2J_bVLPHPv-LgMge2zS5oRH32rpuo6R8r0h2FegkzgYwM81_YtE5EE1gXTYPUODzYRU8TgQ_HuTFLrW/s400/najib_altantuya-copy.jpgKUALA LUMPUR, 14 Mac – PKR, gandingan Pakatan Rakyat, akan menghidupkan kontroversi kes bunuh Altantuya Shaaribuu menerusi kempen di seluruh minggu depan untuk menyerang balas gesaan sekumpulan NGO yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menolak gesaan kumpulan tersebut sambil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang seharusnya patuh untuk menyerahkan sampel DNA beliau dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.

Begitu juga dalam kes dakwaan membabitkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar) pula berkata partinya akan memulakan kempen DNA mereka minggu depan untuk membalas demonstrasi yang diadakan pertubuhan-pertubuhan terbabit semalam.

“DNA”, kata beliau adalah singkat kepada “Datuk Najib Altantuya”.

“Akan ada siri ceramah. Kami akan edarkan risalah untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam kes DNA dan saya merujuk kepada Datuk Najib Altantuya kerana DNA tidak merujuk kepada kes Anwar,” kata beliau.

“Kami sudah sediakan kesemua dokumen yang relevan,” katanya lagi.

Anwar juga berkata beliau tidak takut untuk menyerahkan sampel DNAnya tetapi khuatir tentang kaedah digunakan oleh pendakwa dalam menguruskan bukti kes.

“Mereka mendakwa saya takut tetapi ia hanya pedaya politik jahat. Ini permainan mereka dan sekarang mereka bergantung pada dubur seorang untuk mempertahankan kuasa politik,” katanya.

Semalam, kira-kira 50 orang yang mewakili 30 badan bukan kerajaan berhimpun bagi mendesak Anwar menyerahkan sampel DNA beliau berhubung kes liwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata Anwar tidak harus menggunakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang untuk meremehkan peraturan undang-undang demi mengaburi mata rakyat.

“Kita juga mendesak badan kehakiman supaya tidak ‘double standard’ dalam isu ini. Kami rasakan bahawa keadilan tidak hanya diberikan pada Orang Kena Tuduh tetapi juga keadilan diberikan pada mangsa iaitu Saiful Bukhari yang menjadi mangsa liwat, seks di luar tabie ini,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor Abdullah Mansor pula berkata Anwar perlu tampil menyerahkan sampel DNA beliau jika merasakan dirinya difitnah.

Perbicaraan kes liwat itu kini berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Terdahulu, di mahkamah hari ini pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Tinggi boleh dan patut membenarkan permohonannya bagi dikeluarkan perintah supaya Anwar memberikan sampel DNA beliau.

Dipetik Bernama, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata permohonan itu mungkin tidak pernah dibuat sebelum ini tetapi dibenarkan mengikut undang-undang manakala Akta Keterangan 1950 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah itu.

“Demi kepentingan keadilan untuk kedua-dua pihak, mahkamah patut memerintahkan Anwar memberikan sampel DNA beliau bagi membolehkan mahkamah mengetahui perkara sebenarnya,” katanya semasa mengemukakan hujah bagi dua permohonan.

Permohonan pertama ialah supaya memerintahkan Anwar memberikan sampel DNA untuk dianalisis manakala yang keduanya ialah untuk menyemak semula keputusan perbicaraan dalam perbicaraan untuk menolak tiga barangan dan profil mengenainya dijadikan sebagai barang bukti.

Pihak pendakwaan mahukan sampel daripada Anwar untuk dibandingkan dengan profil “Lelaki Y” yang ditemui dalam dubur pengadu Mohd Saiful.

Pihak pendakwaan telah mengemukakan hujahnya – dan mahkamah telah bersetuju – bahawa sehelai tuala Good Morning, satu berus gigi dan satu botol air mineral yang diambil dari sel tempat Anwar ditahan semalaman pada 16 Julai, 2008 telah diperoleh menerusi cara yang tidak sah.

Mengenai permohonan semakan semula itu, Mohamed Yusof dalam hujahnya berkata peguam yang mewakili Anwar, S.N Nair, telah dimaklumkan mengenai penahanan itu menerusi sepucuk surat yang dihantar menerusi faksimili ke pejabatnya sehari sebelum penahanan itu.

Hujahnya, penahanan itu sekiranya dianggap sebagai tidak mematuhi undang-undang, tidak sewajarnya menyebabkan barang berkenaan ditolak daripada dijadikan barang bukti.

Terdahulu, prosiding hari ini hampir tertangguh apabila peguam Karpal Singh meminta mahkamah menahan semua yang bertanggungjawab membocorkan dan menerbitkan hujahan Mohamed Yusof sebelum ia didengar di mahkamah.

Hujahan itu telah diterbitkan oleh New Straits Times dan blog berita Malaysia Today.

Karpal berkata laporan itu boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah.
Mohamed Yusof berkata beliau sendiri terkejut dengan laporan itu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengingatkan semua pihak bahawa perbicaraan sedang berlangsung dan sesiapa yang melakukan perbuatan menghina mahkamah akan “berdepan tindakan”.

Perbicaraan disambung esok dengan Karpal akan mengemukakan hujahan berhubung dua permohonan itu.

No comments: