Monday, March 14, 2011

Pakatan Melaka bincang pembahagian kerusi


MELAKA: Pakatan Rakyat Melaka akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pembahagian kerusi dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pengarah Pilihanraya PKR negeri, Mohd Yusuf Abdullah.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan secepat mungkin dan dijangka bulan ini juga.

“Skop perbincangan ialah mengenai berapa kerusi yang akan ditandingi oleh PAS, PKR dan DAP dalam PRU ke 13.

“Satu lagi yang akan diperbincangkan ialah adakah perlu PKR mengekalkan kerusi yang ditandingi dalam PRU lalu atau bertanding di tempat baru? Atau PAS bertanding di tempat lama mereka dan begitu juga dengan DAP?” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam PRU 2008, PKR bertanding tiga kerusi parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), PAS satu kerusi parlimen dan 13 kerusi Dun manakala DAP dua kerusi parlimen dan lapan kerusi Dun.

Hanya DAP yang memenangi kerusi iaitu satu kerusi parlimen Kota Melaka dan lima kerusi Dun.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, mesyuarat itu mungkin tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana Sekretariat Pakatan Rakyat Melaka belum diwujudkan.

PAS, katanya, juga belum bermesyuarat di kalangan pemimpin untuk membincangkan pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, PAS bercadang membayangkan hasrat untuk mengambil kerusi Parlimen Jasin yang ditandingi oleh PKR dalam PRU ke 12.

“Kita berikan kerusi (parlimen) Jasin kepada PKR secara bersyarat tetapi kerusi ini memang kerusi PAS. PAS juga mahu membuat beberapa petukaran kerusi supaya lebih sesuai dengan kekuatan PAS,” katanya.

No comments: