Sunday, April 10, 2011

Mesej 'ubahlah' sudah sampai kepada rakyat Sarawak di pedalaman




SIBU 10 APRIL : Jentera Pakatan Rakyat pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merentasi Sungai Rejang dalam perjalanan empat jam ke kawasan pendalaman Sarawak untuk membantu kempen calon PKR Abang Zulkifli bin Abang Engkeh di N.30 Saribas.

Tumpunan rombongan adalah empat kampung majoriti orang Melayu, iaitu kampung Pusa, Kampung Medah, Kampung Supa dan Kampung Muda yang perjalanannya pergi balik lebih 250 kilometer.

Antara yang menarik yang dapat dilihat ialah aktiviti mengorek pasir yang menurut pemandu bot tempat dilakukan secara tidak sah di perut Sungai Rajang yang menjadi simbol kemegahan Bumi Kenyalang itu.

Sampai sahaja di Kampung Supa, rombongan Khalid meniti titi kecil yang berusia lebih 10 tahun.

Penduduk di sini tidak mempunyai sumber air bersih. Air tadahan hujan menjadi sumber menyambung hidup, minuman, membasuh dan sebagainya.

Turut serta sekumpulan Wanita PKR Ampang yang menyebarkan risalah "Suara Sarawak", wadah untuk mengadu mengenai kemunduran bumi Sarawak di bawah pentadbiran Ketua menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud sepanjang 30 tahun yang lalu.

Dalam interaksi dengan penduduk Kampung Supa, Khalid menyuarakan rasa terkejut diberitahu Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang melawat kawasan Betong yang kebetulannya tempat beliau bermalam menggunakan helikopter.

Dan beliau menggunakan maklumat itu untuk menyampaikan mesej jelas kepada pengundi Sarawak.


"Dia dah tenguk Betong dengan duduk atas helikopter. Dia keliling Betong guna helikopter (maka) dia dah sampai ke Betong (tetapi) Menteri Besar Selangor naik kereta (datang ke Betong.

"Bezakan duit rakyat yang digunakan oleh Alfred Jabu (iaiutu) RM9,500 untuk tak sampai tiga jam naik helikopter (manakala) saya (dengan menaiki kereta) tak sampai RM200 untuk tengok rakyat," ujarnya di depan lebih 100 penduduk tempat.

Khalid turut menyokong rancangan PKR, DAP dan PAS menaikkan jumlah royalti petroleum dari 5 peratus kepada 20 peratus sekiranya rakyat bersedia memberi mandat kepada Pakatan Rakyat mengambil alih Sarawak dan kemudiannya persekutuan kelak.

"Kita minta kerajaan persekutuan bagi dia (Sarawak) 20 peratus (royalti minyak) itu kita masukkan ke dalam satu tabung supaya rakyat tahu ke mana duit itu pergi (dibelanjakan)," tegasnya sambil menyelar Taib kerana membiarkan penduduk Sarawak di pendalaman hidup dalam keadaan begitu daif.

Di jeti Kampung Medang, Khalid disambut mesra dengan alunan tradisi ala-ala "marhaban" dan diarak mengelilingi kampung.

Mereka yang ditemui menyuarakan rasa protes terhadap Barisan Nasional khususnya Taib sendiri kerana memungkiri janji pilihan raya negeri Sarawak 2006 untuk menyediakan bekalan air bersih di kampung tersebut

Dalam keghairahan penduduk tempatan berpusu-pusu menyambut rombangan Khalid, titi kaku yang menjadi laluan utama runtuh.

Khalid memberitahu TV Selangor bahawa beliau akan memperbaikinya menggunakan duit sendiri demi kemudahan penduduk setempat.

Khalid turut diramahi oleh kanak-kanak ketika giat berkempen dari rumah ke rumah mengajak rakyat melakukan perubahan dalam pilihan raya negeri kali ini.

Dalam ucapannya di perkarangan rumah penghulu Kampung Medang, Khalid mengajak penduduk setempat melakukan perubahan sebagainya rakyat di Selangor pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008 lalu.

Kata Khalid, perubahan di Selangor acapkali mengingatkannya supaya senantiasa berjiwa rakyat serta membela nasib rakyat.

"Rakyat Selangor mengingatkan saya bahawa (tanggungjawab) Menteri Besar mesti berjiwa rakyat, Menteri Besar Selangor mesti menjaga (hak) rakyat.

"Jadi Menteri Besar Selangor nak beritahu rakyat Sarawak, yang menentukan siapa yang menjadi Ketua Menteri Sarawak ini bukan pemimpin, yang menentukan orang yang menjadi pemimpin adalah tuan puan, adik kakak sekalian," tegas beliau disambut tepukan gemuruh hadirin yang hadir.

Tambah Khalid Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah telah membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak akan bankrap sekiranya kerajaan senantiasa memikirkan cara untuk menyenangkan hidup rakyat.

Seperti di Selangor, katanya kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang baru berusi 3 tahun telahpun memberi 20 meter padu air secara percuma serta pelbagai program "Merakyat Ekonomi Selangor" yang lain terus kepada rakyat dan perubahan itu tidak mampu dilakukan oleh Barisan Nasional yang memerintah Malaysia lebih 50 tahun.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh rakyat di Sarawak supaya mengundi calon-calon berwibawa sama ada dari PKR, DAP mahupun PAS pada hari pembungan undi 16 April ini.

No comments: