Sunday, June 26, 2011

Lepas gagal kaitkan BERSIH dengan Hindu, Utusan kaitkan BERSIH dengan Kristian pula


Selepas kaitkan dengan Hindu, kini Kristian pula. Ini semua perancangan untuk melaga-lagakan agama dan bangsa di Malaysia. Namun, rakyat tidak mudah terpedaya!

KUALA LUMPUR, 27 Jun : Akhbar Utusan, milik Umno mendakwa gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian, yang berpangkalan di luar negara, dikenal pasti sebagai penyumbang dana kewangan terbesar kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).


Laporan akhbar itu hari ini mendakwa gerakan tersebut yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak beberapa minggu lalu dikesan aktif menyalurkan bantuan kepada Bersih melalui NGO tempatan.


Awal Mei lalu, akhbar itu ada menyiarkan laporan muka depan bahawa ada usaha pihak tertentu di kalangan penganut Kristian negara ini mahu menjadikan Malaysia negara Kristian dengan mengambil alih status agama rasmi.


Laporan ketika itu, memetik satu majlis di Pulau Pinang, juga berkata ada usaha mahu menjadikan orang Kristian sebagai perdana menteri negara ini.


Kata akhbar itu, antara NGO terbabit ialah Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman yang mempunyai hubungan erat dengan Parti Kesatuan Kristian Demokratik di negara itu dan Yayasan Canadian Allied dari Kanada.


Kedua-dua NGO tersebut, menurut Utusan Malaysia, kini dikesan berada di carta ‘tiga teratas’ selaku penyumbang berbanding beberapa lagi pertubuhan asing lain, yang mewakili sembilan negara berlainan.


Dipercayai, jumlah terkumpul dana kewangan asing yang dimiliki Bersih kini sudah mencecah jutaan ringgit dan ia bakal digunakan untuk membiayai operasi demonstrasi.


Malah, Utusan Malaysia juga mendakwa bahawa minggu lalu sahaja sebanyak RM250,000 dari negara asing disalurkan secara haram kepada sebuah NGO tempatan yang bernaung di bawah Bersih 2.0.


“Semua sekali, sembilan negara asing yang menjadi ‘tangan ghaib’ bagi mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara pada 9 Julai ini dan mereka bergerak melalui NGO,” lapor Utusan Malaysia.


“Penyumbang paling besar yang dikesan adalah daripada NGO yang mempunyai kaitan dengan Kristian,” kata Utusan Malaysia memetik sumber.


Dalam pada itu, sumber tersebut turut menjelaskan Bersih juga menerima bantuan kewangan daripada NGO yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Britain dan beberapa buah negara Asia yang lain.


Bagi Amerika Syarikat, Institut Demokrat Kebangsaan (NDI) dan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) dikenal pasti menaja Bersih dan parti-parti pembangkang di negara ini.


“Semua ini membuktikan bahawa Bersih hanya menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai kambing hitam untuk menghalalkan demonstrasi haram. Di belakang mereka ada ejen asing.


“Jadi saya harap rakyat sedar perkara ini. Pembangkang kini sanggup melakukan apa sahaja termasuk bersekongkol dengan negara asing bagi mencetuskan huru-hara,” jelasnya.


Sementara itu, semakan Utusan Malaysia di laman web NDI, www.ndi.org mendapati NGO tersebut mengesahkan bahawa mereka menaja aktiviti Bersih.


“Program NDI di Malaysia ditaja oleh National Endowment for Democracy (NED),” kata badan tersebut seperti dipetik dari laman web.


Malaysian Insider

No comments: