Sunday, June 26, 2011

UMNO takut pilihanraya adil dan bersih

http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/IMG_1047.jpg?t=1303052449PARIT BUNTAR, 26 Jun : Pandangan yang mengatakan kejayaan Pakatan Rakyat memerintah lima negeri sebagai membuktikan sistem pilihanraya di Malaysia telah berjalan dengan adil disangkal oleh Ahli Jawatankuasa PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman

Beliau berkata, sekiranya pilihanraya umum ke 12 lalu berjalan dengan adil bukan sahaja lima negeri malah kerajaan pusat sekarang juga diperintah oleh Pakatan Rakyat.

“ Inilah sebabnya UMNO begitu membantah himpunan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih anjuran pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini.

“ UMNO sebenarnya takut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR ) akan menerima lapan tuntutan BERSIH 2.0 kerana UMNO amat bergantung dengan sistem pilihanraya sedia ada yang banyak memberi kelebihan kepada mereka” katanya

Beliau berkata, laporan polis yang dibuat di seluruh negara bagi membantah himpunan aman BERSIH dibuat oleh UMNO dan NGO yang ditunjangi oleh UMNO.

“ NGO yang timbul secara tiba-tiba membuat laporan polis bukan mewakili rakyat Malaysia secara keseluruhannya, sebaliknya mewakili UMNO yang berada dibelakang NGO ini.

“ Sedangkan himpunan BERSIH adalah mewakili seluruh rakyat Malaysia yang mahukan perubahan sistem pilihan raya ke arah yang lebih baik” katanya

Adnan berkata, tindakan pemuda UMNO ingin mengadakan himpunan pada tarikh yang sama dengan himpunan BERSIH bagi menzahirkan sokongan terhadap sistem demokrasi sedia ada membuktikan UMNO tidak mahu berubah kepada sistem pilihanraya yang adil dan bersih.

“ Jika UMNO ikhlas mahukan sistem pilihanraya yang adil dan bersih , sepatutnya himpunan BERSIH ini disokong bukan dibantah.

“ Ternyata, UMNO amat lemah dan bergantung kepada insitusi kerajaan seperti SPR dan polis untuk terus kekal berkuasa.” katanya

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar tidak gentar dengan amaran Pemuda UMNO untuk mengadakan himpunan pada tarikh yang sama dengan himpunan aman BERSIH.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak (gambar ) berkata, anak muda di Parit Buntar sudah bersiap sedia untuk menghadirkan diri ke perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini.

“ Kami sudah bersiap sedia untuk berhimpun. Jika pemuda UMNO mahu mengadakan himpunan pada tarikh yang sama itu hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan.

“ Namun, pemuda UMNO diingatkan supaya tidak melakukan provokasi menganggu himpunan aman yang dilakukan BERSIH 2.0” katanya

Hairul Nizam berkata, Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menyokong penuh lapan tuntutan BERSIH 2.0 demi menjamin pilihan raya yang lebih adil bagi mempromosikan demokrasi yang telus dan dinamik .

“ Kami sokong lapan tuntutan BERSIH 2.0 iaitu bersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, guna dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“ Pendekatan penganjur BERSIH 2.0 untuk bergerak secara aman termasuk langkah-langkah yang telah diambil dalam menjayakan himpunan aman menjadi peransang kepada anak muda di Parit Buntar untuk turun berhimpun demi kepentingan rakyat marhaen” katanya

No comments: