Wednesday, July 6, 2011

6 aktivis PSM sebenarnya ditahan ISA



SHAH ALAM 7 JULAI : Parti Sosialis Malaysia (PSM) menganggap penahanan enam aktivisnya sebelum ini kerana didakwa mengancam keselamatan negara itu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan bukannya di bawah Ordinan Darurat.

Setiausaha Agungnya, S Arutchelvan berkata, ini kerana berdasarkan prosedur dan layanan berbeza terhadap keenam-enam tahanan terbabit.

"Tahanan EO tidak akan ditempatkan di PRC atau Bukit Aman, sebaliknya mereka akan ditempatkan di IPD sahaja, manakala siasatan terhadap tahanan ISA akan dibuat oleh cawangan khas dan EO dibuat oleh cawangan jenayah,"katanya.

"Perkara ini jelas menunjukkan mereka ditahan di bawah ISA dan polis mengatakan mereka ditahan dibawah EO hanya untuk mengelirukan rakyat." ujarnya.

"Tahanan ISA mata mereka akan ditutup," katanya kepada Tvselangor.
Polis sebelum ini mengesahkan bahawa mereka ditahan mengikut seksyen 3(1) Ordinan Darurat selepas tuduhan awal keenam-enam mereka bersama 24 lagi aktivis PSM disiasat kerana menghasut orang ramai bagi melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong digugurkan.
Antara enam aktivis PSM yang ditahan itu adalah ahli parlimen Sungai Siput Michael Jeyakumar, timbalan pengerusinya M Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha cawangan Sungai Siput A Letchumanan, dan ketua pemuda Sarat Babu.

Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) kedua-duanya membolehkan polis menahan suspek sehingga 60 hari tanpa didakwa.

Keenam-enam mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditangkap di plaza tol Sungai Dua pada 25 Julai lalu ketika menaiki bas menuju ke Pulau Pinang bagi menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah".

Kempen dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Polis mendakwa berdasarkan beberapa barangan yang dirampas daripada aktivis berkenaan menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan fahaman parti Komunis Malaya (PKM).

Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman sehingga hari ini.

No comments: