Wednesday, July 6, 2011

PR perintah Selangor catat lebihan dana RM200 Juta, BN perintah tiap-tiap tahun kurang dana

SHAH ALAM 6 JULAI : Selangor mencatatkan pengumpulan dana melebihi RM200 juta hasil daripada kutipan cukai selain amalan penjimatan kerajaan negeri dalam semua sektor pentadbirannya.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, laporan kewangan Selangor mencatatkan perolehan kerajaan negeri meningkat lebih 20 peratus iaitu daripada RM1.59 billion pada Disember 2010 kepada RM1.77 billion pada Jun 2011.

Khalid menambah, kerajaan negeri terpaksa berjimat cermat dalam pengurusan kewangan berikutan dana yang diberikan kerajaan persekutuan tidak mencukupi meskipun Selangor antara negeri yang paling banyak menyumbang cukai pendapatan kepada kerajaan persetujuan.

Justeru dana yang dikumpul itu akan dimanfaatkan untuk membiayai program pembaikan pemulihan sistem prasarana Selangor.

Beliau menjelaskan kaedah yang diaplikasikan dalam menjana lebihan kewangan adalah melalui dana sedia ada pada 2010 iaitu, lebih RM1 billion dilaburkan dalam bentuk wang tunai wang cair dalam sistem perbankanan, manakala RM600 juta pula dilaburkan dalam pemilikan saham.

"Memandangkan beberapa usaha kerajaan negeri untuk menentukan prasarana negeri Selangor ini mantap dan kita juga dapati terdapat kekurangan peruntukan dari kerajaan persekutuan dalam bentuk pembetulan dan pembaikan jalan-jalan raya dan sistem perparitan.

Kerajaan negeri akan melihat semula bagaimana sebahagian kecil daripada rezab tersebut boleh digunakan dalam program pembaikan pemulihan sistem prasarana negeri Selangor," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut mengumumkan jumlah kertas kerja yang dimajukan ahli Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) Selangor sepanjang penggal 2010 dan 2011.

Jumlah kertas kerja yang dibentangkan adalah sebanyak 939 kertas dengan lebih 589 daripadanya diluluskan dan 112 ditolak.

Katanya, kebanyakan kertas kerja yang dibentangkan barisan Exco adalah tertumpu kepada kelulusan pembangunan tanah di selangor.

"Jadi kita telah berbincang melebihi 900 kertas Exco untuk kita membuat keputusan dan kebanyakan daripada perkara yang kita bincangkan ialah tertumpu kepada kelulusan mengenai pembangunan tanah.

Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Exco Selangor (MTES) di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) petang tadi.

No comments: