Tuesday, February 21, 2012

DAPAT PROJEK RM2.2 BILION!!! Siasat bekas Ketua Hakim dan Penasihat Undang-Undang UMNO


KUALA LUMPUR 21 Feb: PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan isu pemberian konsesi Lebuh raya Kinrara-Damansara (KIDEX) berharga RM2.2 bilion yang didakwa melibatkan keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan penasihat undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.


Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar
(gambar) membuat gesaan itu ekoran dakwaan mengaitkan mereka dengan tragedi rampasan kuasa BN di Perak pada Februari 2009.

Justeru, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menuntut Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ariffin Zakaria meminta Zaki mengisytiharkan asetnya dan keluarga secara bertulis berdasarkan peruntukan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009.



Menurutnya, Hafarizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut, Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd sementara isteri Zaki merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuh raya.

Katanya, mengambil kira kontroversi penganugerahan konsesi itu, Perdana Menteri mestilah respons segera berkenaan isu-isu berkaitan, antaranya pendirian berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009: “Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan”.

“Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Tan Sri Ariffin Zakaria mestilah meminta Tun Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini,” katanya lagi.

Selain itu, ujarnya PM perlu mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail.

“Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?” soalnya

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pemberian konsesi dan pakej kontrak itu selari dengan dasar pentadbiran, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi.

“Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Menurutnya, di dalam sms kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek itu.

Menurutnya, malang sekali apabila sebuah isu tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban yang akan memberi impak kepada semua rakyat sekali lagi dilihat dari perspektif kaum.

Hakikatnya, ujar beliau sekiranya tuduhan itu terbukti benar, sekelompok kecil kroni akan sekali lagi mendapat durian runtuh sedangkan ramai rakyat Malaysia, termasuk majoriti masyarakat Bumiputera terpaksa menjadi mangsa projek itu.

Justeru, katanya terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek itu tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia mempunyai harapan besar terhadap konsesi generasi kedua dan ketiga memandangkan piawai-piawai baru yang dijanjikan kerajaan. Usah kita lupa rekod buruk Kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak ‘bail-out’ dan penswastaan semula.

1 comment:

asry said...

dpt gaji wakil rakyak BILION!!! hasil nya.....Aper yg dpt Kg pandan