Monday, April 19, 2010

Bahana UMNO-APCO, potong bekalan minyak ke Iran

KUALA LUMPUR, 19 April : Gara- gara percubaan untuk memulihkan imej peribadinya pada mata dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk menekan Republik Islam Iran.

Tindakan kerajaan Malaysia menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran seperti diumumkan Najib di Washington sah membuktikan pentadbiran Umno-Barisan Nasional menyertai blok penyokong negara haram Israel.

"Perjanjian kerajaan bersama firma perunding Yahudi, Apco Worldwide berjaya menjadikan pentadbiran negara turut serta dalam perang tekanan sekutu Israel ke atas Iran," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad kepada Harakah.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, sebagai sebuah negara Islam, Malaysia patut malu kepada Venezuela dan Bolivia yang berani menentang hegemoni AS serta Barat dan terus menjalin hubungan dagang dengan Iran.

"Apakah kunjungan Najib ke Washington sekadar menjadi pak turut kepada AS? Apakah Apco Worldwide yang menjadi konsultan kerajaan turut mengatur pertemuan Najib-Barack Obama, bertanggungjawab menasihat kerajaan Malaysia menamatkan penjualan gas ke Iran,?" soal beliau.

Syed Azman berkata, Malaysia sudah lupa daratan kerana melalui Petronas, telah bertapak lebih 20 tahun di Iran. Petronas telah mengutip berpuluh bilion dolar menerusi urusniaga minyak dan gas.

"Hubungan Malaysia dengan Iran begitu baik dan tidak pernah ada tekanan walaupun menghadapi ancaman sekatan dari AS," jelas beliau.

"Kita amat kesal dengan tindakan Najib kerana Iran merupakan satu-satunya negara Islam yang aktif membantu Palestin.Pada kita ancaman nuklear Iran hanya helah AS bagi melindungi kepentingan strategik mereka di Teluk Parsi," tegasnya.

Isu sebenar kata beliau, ialah AS mahu menjaga dan melindungi keselamatan Israel dari ancaman Iran.

Israel sebenarnya ancaman dunia

Israel sebenarnya kata beliau, menjadi ancaman dunia kerana memiliki senjata nuklear dan tidak pernah menandatangani perjanjian ‘nonproliferation nuclear treaty’ sedangkan Iran menandatangani perjanjian itu.

"Apakah selepas ini Kerajaan Malaysia akan menamatkan perjanjian antara Petronas dengan Sudan yang turut disenaraikan sebagai sebuah negara ‘pengganas’ oleh AS,?" soal beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamaruddin Jaafar berkata, tindakan Najib menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran memberi gambaran Malaysia duduk dalam blok Israel kerana Israel memusuhi Iran. Hanya Iran menjadi ancaman kepada Israel.

"Kita kecewa dengan tindakan ini kerana beliau membawa Malaysia menyokong Israel, sebuah rejim yang jahat, terkenal dengan kekejaman dan kerakusan membunuh umat Islam di Palestin," ujar beliau.

Dalam satu majlis penerangan Pakatan Rakyat di Kuala Kubu Baru baru-baru ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian hadirin dengan dokumen perjanjian di antara Apco Worldwide dan kerajaan Malaysia.

"Ini perjanjian, perjanjian apa? Amerika Israel punya syarikat. Berapa Najib bayar, RM77 juta setahun. Ini merupakan suatu pengkhianatan parti perkauman itu (Umno) terhadap solidariti Palestin dan umat Islam di Malaysia.

Ketika di Washington Jumaat lalu, Najib mengesahkan Malaysia telah memotong bekalan minyak ke Iran sambil memberi amaran bahawa negara Islam itu hampir pasti dikenakan sekatan antarabangsa terbaru berhubung program nuklearnya. -Harakah

No comments: