Monday, April 19, 2010

Dibeli untuk lompat parti



ALOR SETAR , 19 April : Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu dibeli oleh barisan pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti sewaktu demam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor sedang berlangsung dan menyifatkan tindakan itu bertujuan menjatuhkan reputasi PKR di mata pengundi kawasan itu.

Ketua Cabang PKR Sungai Petani itu berkata, beliau mempunyai bukti kukuh menunjukkan tindakan Wei Shu keluar parti pada saat-saat ‘genting’ ini adalah atas arahan pemimpin atasan BN yang cuba menggunakan isu itu sepenuhnya bagi menutup kemelut dalaman yang melanda MIC akibat calon kegemaran parti itu, Datuk G Palanivel tidak terpilih sebagai calon.

Menurutnya, walaupun Wei Shu sebelum ini menafikan beliau kecewa kerana tidak dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri, namun hakikatnya Wei Shu mula tidak berpuas hati dengannya setelah Johari membentangkan masalah prestasi Wei Shu sewaktu mesyuarat Kepimpinan PKR negeri, kira-kira empat bulan lalu.

“Saya tahu yang beliau didekati oleh orang-orang BN sejak beberapa bulan lalu. Antaranya termasuk ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh di mana beliau sentiasa turun naik ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengannya secara senyap-senyap.

“Alasan yang digunakan yang kononnya beliau bergaduh dengan saya adalah sekadar alasan. Beliau tidak puas hati sebab saya tidak tolong beliau daripada tidak digugurkan sebagai ahli Exco,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa laman blog yang turut mengaitkan rasa tidak puas hati Wei Shu terhadap Johari adalah disebabkan tindakan Johari memaklumkan kegiatan Wei Shu menjalankan perniagaan rumah urut di Bakar Arang tanpa permit kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Johari menyatakan beliau tidak ambil tahu mengenai perniagaan Wei Shu di samping tidak pernah memaklumkan apa-apa kepada Azizan.

Johari turut mendedahkan sebelum ini Wei Shu pernah menuduh beliau tidak meluluskan projek penambahbaikan Stesen Pengangkutan Awam di Sungai Petani, sedangkan hakikat sebenar projek penambahbaikan itu dihentikan oleh Kerajaan Pusat atas masalah teknikal.

“Saya tiada kuasa untuk menyambung semula kedudukan beliau sebagai Exco melainkan di bawah kuasa Menteri Besar.

“Itu adalah keputusan politik yang dibuat beliau, bukan saya. Perlu diingat saya yang mencadangkan dia supaya dipilih sebagai Exco tetapi hasilnya dia pula yang berjinak-jinak dengan BN,” katanya.

Ditanya sama ada peluang PKR di PRK Parlimen Hulu Selangor akan terjejas berikutan tindakan drastik Wei Shu keluar parti pada tahap genting, Johari menegaskan ia tidak akan menjejaskan kempen PKR dan jentera Kerajaan Negeri Kedah.

“Saya juga menegaskan bahawa tindakan beliau tidak sedikit pun menjejaskan peluang PKR di Hulu Selangor kerana rakyat tidak lagi bodoh sebab setiap kali pilihan raya ada sahaja yang bertindak keluar parti dan rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.

Wei Shu, 54, digugurkan daripada jawatan Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Sumber Tenaga Manusia, Pengangkutan 10 Mac lalu dan tempat beliau digantikan oleh ADUN Sidam, Tan Chow Kang.

Beliau merupakan wakil rakyat PKR kedua dari Kedah yang mengisytiharkan keluar parti. Sebelum ini ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh berbuat demikian pada 23 Ogos 2009.SH

No comments: