Monday, April 19, 2010

Jentera PKR kukuh kerana Individu tidak aktif keluar PKR


SHAH ALAM, 19 April : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yakin tindakan keluar parti ahli PKR yang kononnya mendakwa dirinya Ketua dan Timbalan AMK Cabang Shah Alam langsung tidak memberikan kesan kepada jentera dan kekuatan AMK di Hulu Selangor.

Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut berkata, sebenarnya individu-individu terbabit sudah lama tidak aktif dalam gerak kerja parti lebih dua tahun lebih, malah jawatan tersebut telah dipangku oleh individu lain.

Menurutnya, AMK Selangor yakin ianya sebahagian perancangan jijik UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada PKR.

“Bagaimanapun, tindakan tersebut sebenarnya langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada keyakinan pengundi Hulu Selangor kepada calon berwibawa Datuk Zaid Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan keluar parti itu sebenarnya episod ulangan yang digunakan oleh UMNO dan BN yang sudah ketandusan idea-idea pembaharuan dan gagasan membela rakyat.

Mohd Ezli berkata, isu lapuk yang dibawa ialah fitnah, adu-domba dan keganasan politik lantaran penolakan total rakyat kepada BN sebelum ini.

“AMK Selangor menegaskan calon yang ditampilkan oleh PKR adalah individu yang akan membawa suara pembelaan rakyat ke Parlimen.

“Integriti tinggi dan berprinsip yang dibawa oleh Datuk Zaid mencerminkan gagasan pembaharuan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Menurut beliau, rakyat di Parlimen Hulu Selangor amat bertuah kerana Zaid adalah insan hebat yang memegang prinsip dan memahami denyut nadi perjuangan rakyat pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, beliau (Zaid) menjadi harapan baru kepada suara rakyat Hulu Selangor, justeru untuk membawa agenda Selamatkan Malaysia, beliau adalah individu yang paling layak membawa obor perjuangan rakyat itu.

Semalam, Ketua AMK cabang Shah Alam, Nor’isham Manap dan Timbalannya, Muhamad Ali Mukhtar mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta merta.

Seorang anggota Jawatankuasa (AJK) cabang itu, Mohd. Nazri Mukhtar dan empat anggota Angkatan Muda cawangan Padang Jawa turut mengumumkan keluar parti.

Tindakan itu didakwa diambil kerana kecewa dengan kepimpinan PKR yang memilih Zaid sebagai calon pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Hulu Selangor.SH

No comments: