Thursday, May 20, 2010

Pendedahan Dr. Selvaa perlu disiasat bukan dihukum











PETALING JAYA, 21 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San mahu Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLW) melakukan siasatan terhadap Doktor V P Selvaa sebelum menghukumnya.

Ia berikutan tindakannya membongkar keadaan pesakit orang asli di sebuah hospital Orang Asli di Gombak.

Weng San berkata, disebabkan pendedahan itu, Dr Selvaa dikenakan surat tunjuk sebab oleh jabatan berkenaan pada 19 April lalu.

“Doktor Selvaa menerima surat atas tindakannya membongkar peristiwa itu dan dikatakan melanggar peraturan tetap kakitangan awam.

“Beliau juga difahamkan turut membongkar perkara itu ke Majlis Peguam Malaysia pada 11 Februari lalu dan mengatakan bahawa rawatan yang diberi kepada pesakit Orang Asli tidak memenuhi piawai yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Weng San berkata, tindakan Dr Selvaa yang berani itu diikuti dengan peristiwa tunjuk perasaan yang diadakan di hospital berkenaan pada 24 Februari lalu oleh lebih daripada 30 penduduk Orang Asli.

“Saya berasa kecewa dengan tindakan jabatan itu kerana tidak akan menyelesaikan masalah kesihatan yang dialami oleh golongan Orang Asli.

“Selain itu, masalah yang ditimbulkan Dr Selvaa itu berkait rapat dengan profesionalisme perkhidmatan perubatan di Malaysia dan sebagai seorang doktor perubatan yang bertauliah, beliau berhak untuk menyuarakan kepincangan dalam perkhidmatan perubatan kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan pembetulan boleh diambil,” katanya.

Katanya, Dr Selvaa memilih untuk membongkar perkara itu kepada pihak luar kerana tidak melihat sebarang tindakan susulan daripada pihak berkenaan bagi memperbetulkan keadaan yang berlaku.

“Mereka harus menyiasat tuduhan yang dibuat dan mengenakan tindakan disiplin terhadap pegawai kerajaan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang tidak menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

“Saya menyarankan kabinet dan Perdana Menteri campur tangan dalam hal ini kerana seseorang kakitangan awam tidak harus dipersalahkan hanya kerana beliau menyuarakan kebenaran,” katanya.
SH

No comments: