Thursday, May 20, 2010

Tiada lompat parti jatuhkan kerajaan PR Kedah








ALOR SETAR , 21 Mei : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution menafikan khabar angin mengenai tiga wakil rakyatnya di Kedah akan lompat parti.

Beliau yakin dengan kesetiaan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit dan tiada keperluan untuk mereka keluar parti kerana kepimpinan di Kedah berada pada tahap memuaskan

“Saya percaya wakil rakyat PKR di Kedah tidak akan keluar parti, seperti yang heboh dikatakan sekarang ini. PKR Kedah masih kuat dan tidak bermasalah,” katanya pada sidang media sebelum mengadakan perjumpaan dengan barisan kepimpinan PKR Kedah, semalam.

Saifuddin berkata, tujuan berjumpa pemimpin PKR Kedah sehingga ke akar umbi adalah untuk mengetahui situasi sebenar selain memantau keadaan supaya apa yang disebarkan tidak menjadi kenyataan.

“Lebih baik saya sendiri bersemuka dengan wakil rakyat terbabit dan bertanya apa sebenar yang berlaku, daripada hanya mendengar daripada pihak luar. Apabila berbincang dengan mereka, tak ada apa pun,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang di negeri ini bahawa dalam masa terdekat, tiga Exco PKR dan seorang ADUN akan melompat parti dan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Mereka yang dikatakan akan berbuat demikian ialah S Manikumar (PKR-Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR-Sidam), Lim Soo Nee (PKR-Kulim) dan Lee Guan Aik (DAP-Kota Darulaman).

Dakwaan ini timbul berikutan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin baru-baru ini, yang membayangkan peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak akan berulang di Kedah dalam waktu terdekat.

Saifuddin berkata, semua anggota parti hendaklah menjalin kerjasama sebaiknya dan menjaga persefahaman dalam kalangan ahli.

Mesyuarat itu turut membincangkan persediaan Kongres PKR di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu, 28 Mei depan.
SH

No comments: