Saturday, November 27, 2010

Kukuh perpaduan untuk menang PRU 13



















PETALING JAYA, 28 Nov. : Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah menggesa pemimpinnya agar mempamerkan perpaduan menjelang pilihan raya umum ke-13 bagi mencapai kemenangan semasa berucap di Konvensyen DAP Selangor Ke-16.

"Saudara dan saudari sekalian, kita mesti bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Kita hanya dapat kemenangan jikalau kita semua satu hati dan bersatu padu. Perpatah Melayu berkata, 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'," kata beliau lapor The Malaysian Insider.

Kira-kira perwakilan menghadiri pertemuan hari ini yang turut mendapat perhatian ramai selepas Konvensyen DAP Perak awal bulan ini ekoran persaingan sengit pemilihan kepimpinan negeri.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, kesemua pemimpin DAP Selangor perlu faham dan menyedari bahawa pengundi telah berubah dan bijak membuat keputusan.

"Mereka mempunyai fikiran sendiri dan boleh membuat keputusan dengan bijak. Oleh itu, tiada mana-mana satu parti boleh menang selama-lamanya dalam pilihan raya akan datang.

"Dulu kita menjadi pembangkang, kita meminta kerajaan menyelesaikan masalah rakyat. Tetapi sekarang sudah berubah, kita perlu betul-betul turun padang untuk menyelesaikan aduan rakyat. Jangan ingat kita boleh menang melalui publisiti surat khabar sahaja," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri DAP yang kurang memuaskan.

Oleh itu tegas beliau, sekiranya tiada apa-apa perubahan sebelum pilihan raya umum ke-13, parti akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kata Ean Yong lagi, dua setengah tahun lalu, DAP bersama dengan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru di Selangor dan ia telah merealisasikan perubahan kerajaan buat kali pertama dalam sejarah.

"Ini telah membawa harapan baru dan perubahan kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Lanjutan daripada itu, kata beliau, DAP Selangor telah menjalankan pelbagai aktiviti dalam dua setengah tahun lalu, antaranya kempen pendaftaran pengundi baru.
Mengikut statistik, DAP Selangor telah mendaftar seramai 7,831 pengundi baru di Selangor dari Januari hingga ke Jun lalu.

Ia diikuti Umno seramai 6,014 orang dan PAS pula 4,516 orang. DAP Selangor masih mengatasi semua parti politik di Selangor dalam pendaftaran pengundi baru.
Selain itu, kata beliau, DAP Selangor juga mencapai perkembangan baik dalam organisasi parti.

"Untuk makluman saudara dan saudari, sebelum Mac 8 2008, kita hanya mempunyai 40 cawangan di Selangor.

"Tetapi sampai hari ini, kita telah mencapai 184 cawangan. Bilangan ahli di Selangor juga bertambah daripada 6,000 orang hingga 18,000 orang iaitu pertambahan 12,000 orang ahli baru atau tiga kali ganda.

"Saya ingin bagi satu contoh. Sebelum Mac 8 2008, kita hanya terdapat satu cawangan di kawasan Hulu Selangor iaitu cawangan Kerling. Tetapi hari ini, kita telah mempunyai lapan cawangan di Hulu Selangor," katanya.

Pada masa yang sama, menurut beliau, Barisan Nasional memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baru dengan majoriti 448 undi dalam pilihan raya umun 2008, tetapi ketika pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Pakatan Rakyat dapat mengutip majoriti 2,030 undi di kerusi tersebut.

"Di kawasan Rasa, 80 peratus pengundi kaum Cina telah menyokong Pakatan Rakyat, ini merupakan satu rekod sejarah," katanya.

Kata Ean Yong, perkembangan itu jelas menunjukkan bahawa jika bersatu padu dan bekerjasama, rakyat akan memberi sokongan kuat.

Malangnya kata beliau, pada pemilihan parti kali, DAP mendapati ada segelintir ahli parti menggunakan cara kotor untuk menyerang pemimpin-pemimpin parti.

"Ini merupakan satu persaingan tidak sihat. Mereka membuat tuduhan dan mengatakan bahawa hampir semua keputusan dibuat oleh jawatankuasa negeri dalam dua tahun ini adalah salah.

"Saya mahu tanya mereka, terutamanya mereka yang mendapat jawatan dalam kerajaan, tak kira jawatan tinggi ataupun rendah, tak kira dia Exco atau ahli majlis, tak kira dia Speaker atau ketua kampung, adakah keputusan lantikan parti ini salah?" kata beliau. Selain itu tegas Ean Yong, ada juga yang mengatakan bahawa mereka mahu parti merombak jawatankuasa kepimpinan negeri, terutamanya wakil-wakil rakyat.

"Kenyataan ini amat dikesali dan memecahbelahkan parti kita," katanya lagi.

No comments: