Wednesday, January 5, 2011

DNA Anwar dipalsukan untuk menang kes ?

Siasat Dakwaan Laporan Pemalsuan DNA Kes Mata Lebam Anwar


SHAH ALAM 5 Jan.: Surat terbuka bekas pegawai penyiasat CID, Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa wujud pemalsuan dalam laporan DNA ketika menyiasat insiden mata lebam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa wujud elemen pemalsuan DNA perlu diberikan perhatian serius, kata Yusmadi Yusoff.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata, hal ini kerana pendedahan yang dibuat oleh Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun menjurus kepada integriti siasatan dalam insiden tersebut.

"Kita pun tahu Dr Mahathir pada tahun 1998 telah menggunakan keseluruhan jentera kerajaan di dalam cuba menyabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kesseperti yang dituduh. Tetapi di sini saya kira kenyataan terbuka Datuk Mat Zain tidak diadili dengan sewajarnya, ia akan melibatkan integriti banyak agensi kerajaan yang terlibat sepanjang tahun 1998,"katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Yusmadi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung satu lagi surat rayuan terbuka Mat Zain yang bertarikh hari ini.

Mat Zain dalam surat terbukanya mendedahkan, beliau mempunyai maklumat bahawa ada elemen pemalsuan laporan DNA yang membabitkan Anwar 12 tahun lalu.

Surat rayuan terbuka Mat Zain ini turut memberi fokus kepada Bahagian 1 surat beliau iaitu berkaitan dengan penjelasan dan jawapan secara bertulis kepada soalan-soalan yang tidak sempat dijawab semasa sesi penggulungan perbahasan Bajet 2011, yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 2 Disember lalu.

Hishamuddin ketika itu menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berkaitan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) pada 14 Disember sebagai penjelasan kepada usul memotong RM10 daripada gaji Peguam Negara.

“Saya percaya Datuk sedar bahawa kenyataan berkenaan adalah terbit daripada arahan khusus jemaah menteri kepada Nazri dan seorang lagi Menteri Kanan iaitu Datuk Seri Utama Dr.Rais Yatim supaya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri, berkaitan isu yang dibangkitkan sekembalinya Gani daripada Mekah setelah menunaikan Haji musim lalu,” tulis Mat Zain dalam suratnya kepada Idrus.

Oleh itu katanya, beliau percaya Idrus akan bersetuju dengannya jika mengatakan bahawa Hishammuddin dan Nazri mahupun Rais tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan polis ataupun SPRM.

"Mereka juga tidak mempunyai sebarang kuasa penyiasatan seperti mana terdapat dalam Kanun Prosedur Jenayah ataupun kuasa berkaitan pendakwaan atau perkara yang ‘incidental’ mengenainya sepertimana yang dibekalkan kepada Peguam Negara mengikut Artikel 145(3) dan 145(3A) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh hal yang demikian pengumuman yang telah dibuat oleh Hishammuddin dan Nazri secara berasingan itu adalah semata-mata berdasarkan kepada fakta-fakta yang dibekalkan dan nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara kerana perkara-perkara pengumuman berkenaan adalah berkaitan siasatan dan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Mat Zain berkata, beliau percaya Idrus sendiri turut sedar bahawa pengumuman yang dibuat oleh kedua-dua menteri berkenaan mengandungi fakta- fakta atau maklumat-maklumat mustahak yang tidak benar atau yang mengelirukan atau telah dipesongkan.

No comments: