Wednesday, January 5, 2011

Kuasa kerajaan negeri lantik SUK

Tidak Perlu Pinda, Selangor Berhak Lantik SUK


SHAH ALAM 5 Jan. : Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu meminda undang-undang tubuh negeri kerana peruntukan bagi melantik Pegawai Eksekutif dan Setiausaha Kerajaan Negeri sudah termaktub di dalamnya menurut Edmund Bon.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia menyatakan Perlembagaan Persekutuan telahpun menjamin kuasa kerajaan negeri untuk melantik pegawai eksekutifnya sendiri termasuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) yang kini menjadi pertikaian.

"Perkara 132 dan 139 tak beri kuasa kepada Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri kerana negeri Selangor mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri yang ditubuh di bawah Undang-undang tubuh kerajaan Negeri Selangor, jadi bidang kuasa untuk melantik SUK adalah di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor dan bukannya di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan," jelas Edmund dalam perbualan telefon dengan TV Selangor.

Sebagai nota, Perkara 132 menerangkan bidang kuasa perkhidmatan awam dan Perkara 139 menerangkan bidang kuasa SPA tidak termasuk dengan perkara yang di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Semalam Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam satu kenyataan menyatakan Menteri Besar tidak perlu memberi kebenaran kerana bidang kuasa lantikan Pegawai Eksekutif Negeri Selangor memang berada di bawah SPA.

Keadaan dikeruhkan dengan kenyataan Pensyarah dari Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof. Dr Ahmad Atory Hussein yang menyatakan hanya negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah sahaja yang berhak melantik pegawai perkhidmatan awam divisyen tinggi dan tidak Selangor.

Edmund membidas perkara itu kerana menurutnya, Fasal 52 Undang-undang tubuh Negeri Selangor merujuk kepada SPN sebagai 'Suruhanjaya yang berkaitan' dalam memilih dan melantik Pegawai Eksekutif negeri.

"Undang-undang perlembaggan Persekutuan telah beri kuasa kepada negeri yang mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri untuk melantik pegawainya sendiri termasuk SUK Selangor jadi apa yang telah berlaku sejak tahun 1960 sejak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor ditubuhkan, ianya merangkumi semua pegawai kerajaan negeri di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor," tegas beliau.

No comments: