Wednesday, January 5, 2011

Inkues gagal : Najib kena tunai janji kepada keluarga Teoh

Keluarga Teoh Beng Hock Mahu Najib Kotakan Janji


SHAH ALAM 5 Jan.: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia mengotakan janji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi mencari pihak yang bertanggungjawab keatas kematian ahli keluarga mereka.

Kakak mendiang, Teoh Lee Lan yang gagal menahan sebak menuntut bukti siasatan Beng Hock dibunuh berikutan kegagalan koroner untuk mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

" Kami sangat tidak berpuas hati dengan keputusan hari ini. 'Open verdict', adakah ini jawapan untuk kita semua. Saya mahu tanya kita punya kerajaan, mana janji beliau? Saya mahu tanya Perdana Menteri inikah jawapan anda? Kami tidak boleh terima tiada jawapan," kata beliau kepada media.

Lee Lan turut mengecam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak berjaya mengemukakan perkara sebenar kepada mahkamah selain menuntut bukti Teoh telah diseksa.

" Presiden SPRM, awak janji kami mahu bagi perkara sebenar. Tolong berikan jawapan. Anda mahu kita terima tanpa penjelasan, beritahu saya. Kami mahu minta semakan, cara-cara penyiasatan dijalankan.

"Koroner kata beliau tiada bukti untuk membuat keputusan. Ini adalah kes pembunuhan. Sepatutnya ada bukti. Kenapa tiada bukti, kerana orang yang terlibat tidak melakukan kerja mereka. Mereka tidak pernah buat dengan cara yang betul," ujar beliau dalam keadaan teresak-esak.

Koroner Mahkamah Majistrate Shah Alam, Azmil Muntapha Abas hari ini mengumumkan kes kematian mengejut bekas pembantu Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, mendiang Teoh Beng Hock adalah penghakiman terbuka.

Azmil turut mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian leher mendiang Teoh Beng Hock ketika beliau ditemui mati di Pejabat SPRM, Shah Alam 16 Julai 2009.

No comments: