Monday, January 17, 2011

Nasib rakyat Terengganu di bawah Umno

INILAH HARGA YANG PERLU DIBAYAR ORANG MELAYU KUALA TERENGGANU

Artikel : Jika hendak dikatakan bahawa ini adalah harga yang perlu dibayar untuk pembangunan,maka itulah nasib penduduk di kawasan Ladang Kuala Terengganu.

Sepuluh tahun yang lalu,negeri Terengganu dalam gerhana dan penyu menangis di Terengganu.

Itulah sumpah keramat kepada rakyat Terengganu kerana telah bertindak menolak kerajaan Umno Terengganu ketika itu.Ratib dan zikir RTM dan media milik Barisan Nasional menggambarkan betapa malapnya Terengganu di bawah Pas Terengganu.

Ketika itu,keluarlah rakaman video Buletin Utama TV3 yang merakamkan "kedhaifan" Bandar Kuala Terengganu yang dipenuhi oleh rumah-rumah tradisional zaman berzaman.


Maka dalam tahun 2004,naiklah seorang insan dari Utara Terengganu menjadi Menteri Besar,adapun Idris Jusoh namanya.

Berkuasanya kembali Umno di Terengganu dianggap sebagai Zaman Rennaisance,zaman kelahiran semula setelah sepenggal berada di zaman gelap bersama Pas.

Tatkala itu,wujudlah kaki ampu dan bodek,mengiktiraf Idris Jusoh setinggi-tingginya sehingga dibodek sebagai "Bapa Pembangunan Negeri Terengganu."


Semahal mana harga pembangunan yang dimimpikan penduduk Terengganu selama ini,semahal itulah harga yang perlu mereka bayar untuk pembangunan tersebut.

Bandar Kuala Terengganu yang dianggap sebagai bandar termundur di Malaysia,perlu ditransformasikan menjadi sebuah bandar urban.Kesilapan memilih Pas selama sepenggal telah menyebabkan pembangunan di Bandar Kuala Terengganu terbantut sepenuhnya.

Sehinggakan,tindakan kerajaan Pas yang memalapkan lampu limpah di Jambatan Sultan Mahmud dijadikan sebagai perlambangan kemunduran di bawah Pas.


Sebenarnya,penduduk Terengganu tidak sedar.Terkebelakangnya Bandar Kuala Terengganu bukanlah disebabkan Pas mahupun Umno,tetapi didorong oleh kapitalisme.

Para pemodal tidak melihat Terengganu sebagai potensi pelaburan yang lumayan,terutamanya apabila memikirkan kedudukannya yang jauh menganjur ke laut,selain keadaan sosioekonomi penduduk yang berpendapatan sederhana dan rendah.Komuniti kaum Cina yang sedikit juga tidak merancakkan ekonomi negeri Terengganu.


Setelah Umno memerintah semula Terengganu,mereka juga gagal untuk memajukan ekonomi negeri Terengganu.Ini hakikat yang perlu diterima.

Hampir kesemua projek yang wujud di negeri Terengganu adalah hasil pelaburan kerajaan dan GLC,di mana pihak swasta masih belum yakin untuk melabur sepenuhnya di Terengganu.Malah,perlu diingatkan bahawa kerajaan negeri masih bergantung sepenuhnya kepada Dana Khas Persekutuan dalam merencana pembangunan negeri.


Justeru,untuk menarik kedatangan dan minat para pemodal ke Terengganu,satu grand design perlu dibuat. Pertamanya,pembinaan Lebuhraya Pantai Timur.Itupun sentiasa terbengkalai.

Kedua,tanah-tanah persendirian di Terengganu perlu diambil untuk dimajukan terutamanya di tengah-tengah bandar.

Perancangan besar-besaran telah dibuat untuk melaksanakan KTCC,Kual Terengganu City Centre yang tertumpu di kawasan pesisir air,bermula dari Seberang Takir sehinggalah ke kawasan Batu Buruk.Untuk merealisasikan perkara tersebut,tanah-tanah perlu diambil.

Penduduk Pulau Duyong telah mengalami nasib tersebut beberapa tahun yang lepas apabila pembangunan yang mendadak di kawasan tersebut memberi kesukaran kepada para nelayan di kawasan tersebut.



Malah,jika perancangan KTCC diambil kira,kawasan berpenduduk Pulau Duyong bakal hilang dari peta negeri apabila kesemua tanah di kawasan tersebut bakal diambil oleh kerajaan.Penduduk Pulau Duyong sendiri telah mula menolak Umno di kawasan Dun mereka di Bukit Tunggal apabila calon Pas,Dr Alias Abdul Razak berjaya menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit.

Kampung asal penulis sendiri juga sebenarnya telah hilang daripada peta Kuala Terengganu.Kampung Paya Keladi kini hanya tinggal kenangan. Perkampungan Melayu yang berhadapan dengan Pasar Payang telah lama dirobohkan untuk pembinaan jalan.

Apapun,penulis tidaklah begitu terkilan dengan tindakan kerajaan di bawah Wan Mokhtar ketika itu,kerana penduduk mendapat pampasan yang sewajarnya dan mendapat tanah gantian di kawasan penempatan semula Tok Adis di Kuala Ibai.


Kini,nasib sebuah lagi kampung tradisi di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu mengalami nasib serupa dengan Pulau Duyong dan Paya Keladi.Kawasan tersebut adalah kawasan perkampungan tradisional iaitu Kampung Ladang.

Perkampungan tersebut kini boleh dikatakan sebagai tinggal kenangan apabila hampir kesemua tanah dirobohkan dan bakal dibangunkan dengan pembangunan komersial sesuai dengan kedudukannya di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu.


Untuk rekod,hampir kesemua tanah di Kampung Ladang telah diambil oleh kerajaan Terengganu.Para penduduk diberikan pampasan dan mereka telah ditempatkan semula di Flat Ladang Gemilang.

Bagi penduduk yang tidak gemar dengan rumah flat,mereka telah berpindah ke kawasan pinggir bandar.Flat Ladang Gemilang Fasa 1 telahpun diduduki oleh para penduduk,manakala Flat Fasa 2 masih lagi dalam pembinaan.


Berikut adalah gambar-gambar kesan perobohan rumah-rumah di Kampung Ladang:







Sebagai seorang rakyat Terengganu,penulis tidak pernah menentang pembangunan.Tapi,jika penduduk terpaksa berpindah daripada kampung halaman mereka sejak zaman berzaman semata-mata untuk pembangunan,ini adalah satu tindakan yang tidak begitu kena.

Menukarkan rumah penduduk daripada di atas tanah kepada bergantung di atas awan bukanlah pilihan penduduk Terengganu.

Penduduk Terengganu yang masih berpegang pada tradisi turun temurun masih lagi memilih kediaman yang mempunyai laman yang boleh bercucuk tanam dan menternak itik ayam.

Selepas ini,anak-anak yang pulang ke kampung merasa tidak ada bezanya rumahnya di kawasan Flat Pantai Dalam dan kampung halamannya di Flat Ladang.


Terengganu kini persis Kuala Lumpur

Malah,penduduk Ladang yang telah berpindah juga telah membuat satu protes kepada kerajaan negeri kerana sewa bulanan flat dikatakan tidak seperti yang digambarkan sebelum ini,naik kepada RM300 sebulan daripada RM126 yang dijanjikan kerajaan.Menurut penduduk yang mengadakan protes,berikut adalah masalah yang dihadapi mereka:

1) Mereka sangat kesal kerana pampasan yang diterima sangat rendah iaitu RM6,000.00 sahaja apatahlagi tanah mereka terletak di dalam pusat bandar dan telah didiami sejak turun temurun.


2) Mereka digesa supaya berpindah serta merta sebelum hari raya puasa yang lalu seolah-olah ada projek yang begitu mustahak ingin dibuat sedangkan sehingga kini tiada apa-apa pun yang berlaku. Mereka meminta agar diberikan sedikit masa untuk berpindah selepas menyambut hari raya tetapi tidak dipedulikan.

3) Mereka dijanjikan sewa beli sebanyak RM126.00 sebulan tetapi kini sudah menjadi sewa sahaja dan telah dinaikkan sebanyak RM300.00 sebulan.



Flat yang dibina oleh kerajaan negeri itu pada dasarnya adalah sama seperti keadaan flat perumahan rakyat di Kuala Lumpur,mempunyai keluasan rumah yang sempit,mempunyai tiga buah bilik di mana satu daripadanya hanya sebesar stor,ruang dapur yang sempit selain ruang tamu yang juga sempit.

Penduduk Ladang yang berpindah pastinya merasakan rumah baru mereka berubah 360 darjah daripada keadaan asal,di mana rumah kampung yang mempunyai laman,dapur yang luas dan mempunyai ruang-ruang lain yang luas.


Selain itu,kadar keselamatan di kawasan flat juga mulai tidak terkawal apabila banyak kes kecurian motorsikal berlaku,selain keadaan flat yang mulai kotor dan berbau busuk.

Saiz sesebuah rumah flat mungkin selesa kepada mereka yang baru berkahwin,tetapi bagaimana pula dengan penduduk Terengganu yang rata-ratanya mempunyai empat hingga lapan orang anak?

Bagaimana dengan keluarga yang besar?Adakah mereka selesa di flat tersebut?Gambar di bawah ada jawapannya.



Warga kota Kuala Terengganu
tidak sesuai tinggal di flat
(kamera menggunakan wide angle untuk
membolehkan semua sisi diambil sekaligus)
Apa yang pasti,keadaan Melayu di tengah-tengah Bandaraya Kuala Terengganu tidak ubah seperti nasib penduduk Melayu Tanjung di Pulau Pinang satu ketika dahulu.Tanah mereka diambil dan diambil atas nama pembangunan,dan akhirnya orang Melayu jauh terperusuk ke pedalaman.Terengganu mungkin tidak senasib dengan Pulau Pinang kerana Melayunya masih majoriti,tetapi adakah pembangunan yang bakal dibuat bakal menguntungkan penduduk Ladang itu sendiri?

Di sini penulis bawakan brosur pembangunan kawasan Ladang untuk tatapan bersama.



Seperti mana yang disebut dalam penulisan sebelum ini,pembangunan Terengganu lebih kepada bersifat kosmetik semata-mata.Cantik pada pandangan pelancong,tetapi pada penduduknya sendiri?

Inilah yang dinamakan kera di hutan disusukan,anak di rumah mati kelaparan.Adakah kerajaan negeri mahu melihat kawasan di tengah bandar Kuala Terengganu rata tanpa penduduk?

Pembangunan yang dibuat pula,hanyalah untuk mereka yang berduit termasuklah pusat beli belah,hotel-hotel dan kondominium mewah.Adakah ini syarat utama pembangunan?

Apa yang pasti,penduduk asal Terengganu mungkin tidak ramai yang mampu membeli lot-lot tersebut, dan akhirnya perniagaan di bandaraya ini mula dikuasai oleh pemodal kapitalis.

Siapa yang berduit,maka dialah yang bakal menjadi raja.Di sebalik cadangan MBKT membina sebuah lagi menara barunya di Kuala Terengganu,penulis tertanya akan satu asas.

Adakah pembinaan ini semata-mata mahu memperlihatkan Terengganu mempunyai banyak bangunan tinggi?Walhal penulis rasakan bahawa ruang dan premis di Terengganu sudah lebih daripada cukup.

Kuala Terengganu bukanlah seperti Kuala Lumpur yang mempunyai industri perkhidmatan yang pesat.Terengganu cuma sekadar sebuah bandar yang sederhana.

Mengurbanisasikannya secara melampau adalah silap dalam keadaan negeri Terengganu masih menjadi negeri kedua termiskin di Malaysia.Apa yang dikhuatiri,jurang kaya miskin akan melebar dengan tinggi jika berlaku pembangunan tidak seimbang seperti ini.Selain itu juga,nasib pengusaha dan peniaga kecil di Bandaraya Kuala Terengganu juga akan terjejas sekiranya Kuala Terengganu mahu meninggalkan identiti lamanya yang mesra.

Penulis bukan menembak peluru buta.Kata-kata penulis ada asasnya.Pengusaha bot penambang sudah lama mengeluh di Seberang Takir.

Dan terbaru,pengusaha kraftangan di kawasan Ladang menerima nasib yang seadanya.Pembaca boleh membaca rintihan Pak Ya Si Pengukir di blog sahabat.

Nasib Pak Ya

Apapun,penduduk Terengganu bukanlah anti pembangunan.Tetapi biarlah pembangunan itu bermakna pada mereka.Apalah guna jika menang sorak kampung tergadai.


Inilah harga yang perlu dibayar oleh penduduk Terengganu.

NOTA : Segala gambar-gambar yang digunapakai dalam artikel ini diambil daripada blog Tolahah Muda : Explore Terengganu. Layari blog tersebut untuk mengenali Terengganu dari perspektif fotografi.kamisokongpas

No comments: