Monday, January 17, 2011

Tiada percanggahan, bakal diselesaikan dengan baik

Tiada Percanggahan Antara Ronnie dan Hasan Ali


SHAH ALAM 17 Jan.: Exco Selangor, Ronnie Liu menyatakan tidak wujud percanggahan pendapat antaranya dan Datuk Dr Hasan Ali berhubung isu pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Sebaliknya kata beliau, kedua-dua mereka masing-masing dalam usaha mencari jalan penyelesaian berhubung isu melarang umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Ronnie ialah Exco Kerajaan Tempatan,Kajian dan Penyelidikan, manakala Dr Hasan ialah Exco hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Insfrastruktur dan Kemudahan Awam.

"Saya memandang perkara ini dari sudut ekonomi, kebajikan dan juga industri itu sendiri seperti pengusaha dan lesen, saya rasa Dr Hasan sebagai Exco yang menjaga agama, mungkin beliau pun bimbang dan saya rasa beliau juga cuba menangani isu ini dari sudut beliau kerana beliau yang menjaga agama, saya rasa tidak ujud percanggahan dalam hal ini," katanya.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Subang Jaya atau MPSJ mengariskan panduan baru bagi PBT itu dengan melarang orang Islam bekerja di premis menjual arak dan ia ditarik balik buat sementara waktu untuk kerajaan negeri mencari penyelesaian.

Penyelesaian ini akan mengambil kira kepentingan pihak pemilik lesen premis, sensitiviti masyarakat Islam serta pekerja pekerja yang terlibat dalam industri tersebut.

Ronnie yang ditemui Tv Selangor sebelum Program Bual Bicara Tinta Selangor petang tadi menyambut baik usaha kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah ini.

"Mesyuarat petang ini adalah satu langkah yang baik oleh Menteri Besar Selangor, kerana beliau akan memanggil semua YDP dengan mengadakan sesi dialog bersama exco dan menerusi perbincangan ini kita akan mendengar pandangan mereka dan dalam masa yang sama kita (exco)mahu menjelaskan pandangan kita dan kita juga akan tengok yang mana satu jalan penyelesaian yang baik," katanya.

No comments: