Monday, January 10, 2011

Kanak-kanak tiga tahun mati dipercayai didera




JOHOR BARU 11 Jan. : Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Nordiana Qistina Norafizan meninggal dunia, dipercayai menjadi mangsa dera di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin, hari ini berkata laporan bedah siasat oleh Hospital Sultan Ismail di sini, mendapati 73 kesan lebam di seluruh badan kanak-kanak itu.

“Pada 9 pagi semalam pihak polis telah menerima panggilan telefon mengenai seorang bayi perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas di dalam baldi di sebuah rumah di Batu 17.5 Jalan Mariam, Kampung Sungai Tiram di Ulu Tiram.

“(Namun) bedah siasat yang dijalankan hari ini mengesahkan kanak-kanak itu mati akibat penderaan dan bukannya disebabkan mati lemas sebagaimana yang dilaporkan,” katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada ibu kandungnya Nor Aqiulla Razali dan akan dibawa ke kampung datuknya di Felda Tenggaroh 6, Sungai Ambat, Mersing untuk dikebumikan.

“Kita telah mengenalpasti suspek dan akan menahannya tidak lama lagi untuk membantu siasatan,” katanya tanpa mendedahkan sebarang identiti suspek tersebut.

Pemeriksaan juga telah dilakukan ke atas adik lelaki mangsa yang berusia setahun dan kakaknya berusia lima tahun, di Hospital Sultanah Aminah di sini kerana dipercayai turut didera oleh suspek.-BERNAMA

No comments: