Monday, January 10, 2011

PAS bakal bertanding 6 kerusi di Sarawak


Dun Sebuyau: PAS Sarawak bertapak kukuh

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgTVIHL7h-Fo3vEAmJJeuxpMbZuJgoba76BGWokj8LREo0mr_vwQ9fDjBwqvGwy-zNnlykanIdO28X9wJe2vs6l_JeG0Ne0rc_61-HqeviMNZzugiodNpIdHyYYhffWMH9YVE4Zes4Mz_E/s320/PAS+001.jpgKUALA LUMPUR, 10 Jan: PAS Sarawak kini berkeupayaan bertapak lebih kukuh untuk bertanding dalam pilihan raya bagi kerusi Dun Sebuyau yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar.

Ini ekoran kawasan itu telah diserahkan kembali oleh PKR untuk ditandingi oleh PAS.

Penyerahan kerusi Dun itu kepada PAS telah dilakukan secara rasmi baru-baru ini, setelah kedua-dua pihak mengadakan rundingan dalam semangat setiakawan bagi kepentingan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Haji Adam Ahid menegaskan, kerusi Dun Sebuyau ditandingi PAS sejak pilihanraya umum negeri pada tahun 2001 yang diwakili oleh beliau sendiri.

Menurut beliau, atas permintaan PKR dan semangat setiakawan, kerusi Dun itu bagaimanapun telah diberikan oleh PAS kepada PKR untuk ditandingi dalam pilihanraya umum Sarawak pada tahun 2004 lalu.

"Sebelum diberikan kepada PKR, PAS sememangnya telah mempunyai kekuatan tersendiri di kawasan itu. Tetapi untuk menghadapi pilihanraya tahun 2004, atas permintaan PKR, kerusi Dun Sebuyau telah diserahkan kepada PKR untuk ditandingi, manakala PAS bertanding di kawasan Dun lain sebagai gantinya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sesuai dengan kawasan itu sebagai kawasan PAS, menurut beliau, dalam pilihanraya tahun 2004 lalu, calon PKR hanya tewas sebanyak 800 undi sahaja kepada Barisan Nasional.

Dari kajian semasa yang dilakukan, para pengundi di kawasan itu bagaimanapun lebih berhajat kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu untuk menghadapi pilihanraya akan datang dan pilihanraya-pilihanraya seterusnya.

"Disebabkan realiti itu, saya dan rakan-rakan kepimpinan PAS negeri baru-baru ini telah mengadakan rundingan dengan kepimpinan PKR untuk diserahkan kembali kerusi itu kepada PAS. Hasil dari rundingan itu, PKR dengan senang hati telah menyerahkan kembali kerusi Dun Sebuyau kepada PAS dengan rasminya," katanya.

Untuk menghadapi pilihanraya akan datang, menurut beliau, PAS akan bertanding sekurang-kurangnya bagi enam kerusi Dun di Sarawak.

"Berdasarkan perkembangan terkini, dari keenam-enam kerusi Dun yang akan kita tandingi itu, PAS mempunyai harapan cerah untuk menang bagi kerusi Dun Sebuyau," jelasnya.

Sungguhpun begitu, PAS Sarawak tidak akan berpada dengan perkembangan itu. Beberapa perancangan telah pun disusun bagi membolehkan PAS mencapai kemenangan di Dun Sebuyau dan kawasan-kawasan lain yang ditandingi.

"Selain Sebuyau, PAS juga mempunyai peluang cerah untuk menang bagi kerusi Dun Beting Maro yang juga terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar.

"Kajian terperinci tentang potensi kawasan itu kini sedang giat dilakukan oleh PAS Sarawak, manakala penjelasan kepada rakyat tentang perlunya mereka menolak BN dan menyokong PAS atau Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang akan dilakukan secara berterusan," jelas beliau.

No comments: