Monday, January 10, 2011

Umno guna kemudahan Felda berkempen di Tenang ?

Anak dakwa ada bukti kukuh

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman hari ini mendakwa lembaga itu menggunakan pelbagai kemudahan serta bajet sokongan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) di Tenang, Johor.

Menurut Mazlan, pihaknya mempunyai bukti kukuh dan laporan akan dibuat kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat dilakukan berhubung hal itu.

Katanya, perkara itu cukup ketara berlaku sejak seminggu yang lalu malah beliau mendakwa kenderaan rasmi serta pegawai Felda turut dikerah untuk menggerakkan kempen BN di Tenang.

“Kami dapati Felda guna kenderaan rasmi, kerah pegawai, guna bajet sokongan dan duit itu datang daripada peneroka untuk bantu jentera BN dalam pilihan raya di Tenang ini.

“Bagaimana pejabat Felda beroperasi sehingga lewat 11 malam sedangkan kebiasaan mereka habis kerja pukul 5 petang. Bila kami lalu ternampak kelibat pegawai, apa yang mereka buat?,” soalnya.

Mazlan berkata, pihaknya juga telah menggerakkan 20 orang bagi memantau perkara itu dan menggesa agar pegawai kerajaan yang terlibat tidak tunduk dengan kemahuan Umno-BN.
Lapor kepada SPRM

Katanya, penyalahgunaan kuasa ini akan dilapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan agensi kerajaan telah menjadi alat kepada BN.

“Kami pantau kegiatan mereka secara bergilir-gilir dari 9 malam hingga 12 tengah malam. Kami mahu biar parti lawan parti dan kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa mereka untuk tujuan seperti ini.

“Saya rayu pegawai kerajaan ini untuk tunjuk profesionalisme. Mereka dilantik bekerja bukan jadi alat kepada Umno-BN. Kalau kempen untuk BN, bagaimana orang PAS, DAP, PKR? Kita yang bayar cukai untuk gaji mereka,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga telah menghubungi Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mohd Shaani Abdullah berhubung penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam.

“Saya dah berhubung dengan Suhakam mengenai hal ini. Kami dah berbincang mengenainya dan kita akan mengambil tindakan lanjut selepas ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada penjawat awam ini menemuinya untuk menyatakan pendapat mereka, Mazlan enggan mendedahkan butir lanjut mengenai pertemuan itu.

“Mereka diperalatkan tetapi mereka sepatutnya berani untuk menolak. Ini bukan satu yang sukar tetapi segelintir pegawai ada sifat simpati dan sokong Umno.

“Saya rasa mereka mungkin ada kepentingan peribadi seperti untuk kenaikan pangkat… itu pasal mereka agresif berkempen,” katanya.

No comments: