Monday, January 10, 2011

Yakin kemampuan PAS

100 Hari: Rakyat Terengganu yakin dengan PAS

KUALA LUMPUR, 10 Jan: PAS mempunyai harapan cerah untuk menang di Terengganu dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 nanti, berdasarkan perkembangan terkini yang memperlihatkan rakyat negeri itu sudah mempunyai alternatif untuk ubah kerajaan dari yang ada sekarang kepada PAS atau Pakatan Rakyat.

Momentum itu diketahui oleh PAS Terengganu berdasarkan kajian terkini yang dilakukan dan ia turut dikesan oleh Umno, sehingga menyebabkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri terpaksa diserahkan oleh Datuk Hishammuddin Tun Hussein kepada Menteri Besar Terengganu sendiri, Datuk Seri Ahmad Said.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan, punca-punca yang menyebabkan rakyat Terengganu mula mempunyai alternatif untuk mengubah kerajaan yang ada kini agak banyak.

Menurut beliau, antaranya termasuklah kekecewaan rakyat Terengganu kepada kerajaan BN negeri itu yang gagal memberikan kesegaran kepada seluruh rakyatnya.

"Faktor itu pula disokong oleh kegagalan Umno BN yang memerintah negeri Terengganu dalam membasmi kemiskinan, sehingga menyebabkan orang ramai berfikir kenapa mereka tidak boleh menggantikan Umno BN kepada PAS," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Janji 100 hari Pakatan Rakyat, katanya, turut memberikan kesan baik kepada PAS di Terengganu, apabila rakyat negeri itu sendiri lebih yakin kepada PAS berbanding Umno BN untuk melakukan pembaharuan yang diharapkan oleh mereka.

"Janji yang dibuat oleh Pakatan Rakyat itu tidak kosong, tetapi mempunyai asas yang kukuh berdasarkan keupayaan para pemimpin Pakatan Rakyat untuk melakukannya.

"Ia juga bersesuaian dengan potensi kewangan negara yang sememangnya mencukupi untuk memberikan keselesaan kepada rakyat sekiranya ia diurus dengan baik. Manakala para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat pula sudah terbukti kejujurannya dan mereka tentunya tidak membuat janji kosong kepada rakyat," tegasnya.

Dalam masa yang sama, menurut beliau, PAS negeri itu turut mempunyai peluang yang lebih baik untuk menawan Terengganu dengan pertukaran Hishamuddin kepada Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

"Perubahan itu sebenarnya bukan merumitkan, malah semakin memudahkan PAS untuk menawan Terengganu kerana Datuk Ahmad Said dilihat tidak pandai mentadbir dan mengurus kewangan oleh sesetengah pihak dalam Umno sendiri," ujarnya.

Maknanya, menurut beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, pergolakan dalam Umno sendiri gagal diselesaikan oleh Umno Terengganu dengan baik. Ini menyebabkan para penyokong Umno sendiri memandang PAS jauh lebih baik dan berkeupayaan untuk mentadbir negeri dengan baik sekiranya diberikan mandat untuk memerintah negeri itu dalam PRU Ke-13 nanti.

Dalam masa yang sama pula, PAS terus melangkah ke hadapan dengan strategi-strateginya yang tersendiri dalam usaha memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai dasar-dasar parti itu.

Antara perancangan terkini yang dilakukan mulai tahun ini termasuk langkah mula menyerang Umno BN dengan slogan "PAS Ganti Umno" yang telah dilancarkan secara tertutup di Kuala Ibai baru-baru ini, dengan dihadiri lebih 1,000 orang pemimpin PAS negeri itu.

Pada 15 Januari ini, program itu akan diadakan secara terbuka di Dataran Tok Guru, Cukai, Kemaman dan kemudian akan disusuli pula di daerah-daerah lain di seluruh Terengganu.

Serangan yang akan dilakukan oleh PAS terhadap Umno dengan memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat tentang penyelewengan Umno BN kepada rakyat selama ini.

Dengan itu, rakyat pasti akan menjadi lebih sedar tentang kesilapan mereka yang memberikan mandat kepada Umno BN untuk memerintah Terengganu, malah Malaysia selama ini.

"Dalam masa yang sama, kita juga akan terus memberikan penjelasan kepada orang ramai tentang dasar-dasar PAS dengan dasar Islam, bagi membolehkan orang ramai berfikir dengan sendirinya betapa lebih baik kepada mereka jika mereka memberikan kepercayaan kepada PAS bagi mengganti Umno untuk memerintah Terengganu, menepati slogan kita itu sendiri," tegasnya.

No comments: