Saturday, January 1, 2011

Program kebajikan "Kembali ke Sekolah " di Parit Buntar

Pelajar terima sumbangan masuk sekolah

PARIT BUNTAR, 31 Dis. "Anak-anak merupakan generasi akan datang yang bakal memimpin negara, oleh itu jangan jadikan anak-anak kita manusia yang tiada maruah menggadaikan prinsip agama dan negara." ujar Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dalam ucapan bersempena majlis sumbangan untuk pelajar sekolah di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Titi Serong di sini.

Beliau menyatakan untuk menjadi manusia yang bermaruah perlu ada ikhlas dan tidak berpura-pura dalam menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Dr Mujahid turut menyebut, walaupun beliau selaku ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang dinafikan hak menerima peruntukan RM 1 juta setahun oleh kerajaan Barisan Nasional, namun ia bukan alasan supaya beliau dan PAS Parit Buntar tidak berusaha untuk tampil menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

" Semua orang hendak anak mereka jadi pandai, semua orang hendak anak mereka berjaya, namun begitu apa gunanya berjaya dalam pelajaran, kerjaya dan mentadbir sekiranya hidup tidak bermaruah, menerima rasuah, jahil dalam beragama, menggunakan kepandaian untuk menjahanamkan rakyat dan negara.

" Oleh itu jadilah insan yang baik dalam pelajaran dan baik dalam beragama supaya generasi akan datang terpelihara survival hidup mereka." katanya.

Turut hadir di dalam majlis yang sama adalah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husain yang turut memberikan ucapan serta tazkirah kepada tetamu yang hadir.

Beliau menyatakan ibubapa perlu bertegas dalam soal beragama dalam mendidik anak-anak.

" Apa yang menjadi kesan kini apabila anak-anak tidak didedahkan dengan ilmu agama, maka banyaklah perkara-perkara negatif berlaku. Isu anak terbabit dadah, seks bebas, buang bayi dan sebagainya merupakan kegagalan ibubapa menerapkan nilai Islam dalam hidup.

" Jangan kita mengharapkan pendidikan di sekolah semata-mata, akan tetapi ibubapa berperanan sepenuhnya pada anak-anak" katanya

Beliau memuji PAS Parit Buntar dan Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar yang bertungkus lumus berusaha membantu memberikan sumbangan untuk persekolahan murid-murid miskin walaupun tiada peruntukan.

"Insya Allah apabila Pakatan Rakyat memerintah kembali Perak, kita akan terus membantu dengan lebih meluas kepada anak-anak pelajar yang miskin ini," tambahnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Harun Hashim dan Naib Yang Dipertua, Ahmad Azhar Sharin.

Dr. Mujahid Ahli Parlimen Parit Buntar memberi ucapan

Antara Ibubapa dan pelajar yang hadir menerima sumbangan

Dr. Mujahid menyampaikan sumbangan

No comments: