Saturday, January 1, 2011

Umno nak tuduh MB Selangor derhaka pula

Isu SUK: Nizar ramal Pakatan mungkin hilang sokongan Melayu

http://2.bp.blogspot.com/_tK0zLHQlrw0/SZjvVw4g0FI/AAAAAAAACME/WAe24dRXOvI/s1600/raja%2B001.jpg

KUALA LUMPUR, 2 Jan : Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengingatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan populariti di kalangan orang Melayu dan akan didakwa menderhaka raja ekoran pendirian dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Nizar yang kehilangan jawatan menteri besar Perak dua tahun lalu berkata, Umno akan mendakwa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menghormati peranan Sultan ekoran pendirian enggan menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai perkhidmatan awam negeri, yang dilaporkan telah mendapat perkenan istana.

“Disebabkan mereka mengawal media, mereka akan menggunakan isu ini untuk mendakwa Khalid menderhaka terhadap Sultan seperti yang berlaku ke atas saya di Perak. Bagi orang Melayu ini perkara serius,” kata Nizar kepada The Malaysian Insider.

“Sebab itu, mereka terus-menerus mengatakan Sultan sudah memberi perkenan kepada pelantikan,” katanya.

Nizar kehilangan jawatan menteri besar awal 2009 selepas Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti.

Beliau kemudian didakwa menderhaka Sultan selepas meminta agar DUN dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Nizar yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, di sebalik usaha sepatutnya untuk memperkukuhkan sokongn tradisi Pakatan Rakyat, kehadiran Khusrin akan menjejaskan lagi usaha-usaha pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini akan menjadi sesuatu yang sukar bagi Khalid,” katanya.

“Khusrin dilihat sebagai calon terbaik untuk mencabar Menteri Besar,” kata beliau sambil menambah, Umno-BN akan menggunakan isu itu untuk melancarkan kempen terhadap Pakatan Rakyat Selangor kononnya menentang institusi diraja negeri itu.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Nizar juga berkata, pelantikan Khusrin juga sebahagian daripada usaha BN yang menguasai Putrajaya boleh memulakan usaha rampasan kuasa terhadap Selangor sebagaimana berlaku di Selangor.

Justeru, Nizar menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendiriannya menolak pelantikan Khusrin kepada rakyat.

“Sebagai menteri besar, beliau ada kuasa untuk menolak Khusrin daripada memasuki pejabatnya, Langkah terbaik ialah membuatkan beliau masyghul,” katanya.

“Akan ada banyak lagi kemelut (selepas ini), krisis akan berterusan tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh disedarkan (tentang keadaan sebenar peruntukan) dalam perlembagaan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Khalid akan memperoleh kemenangan jika menguruskan isu semasa ini dengan baik.

“Pada masa lalu tidak siapa yang tahu tentang perlembagaan Perak, tetapi sekarang setiap orang mengingatinya,” kata beliau.

Malah Nizar juga menjangkakan isu tersebut tidak akan berakhir dengan memihak kepada Khalid sebagaimana berlaku di Perak apabila beliau cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

“Saya telah cuba dua kali,” kata beliau merujuk kepada usahanya merujuk Sultan Perak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan untuk menggantikan Rahman tetapi tidak berhasil.
Semalam The Malaysia Insider melaporkan pakar perlembagaan Prof A. Aziz Bari berpendapat peluang terbaik yang ada pada Khalid bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru ialah dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata beliau.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini memberitahu, peruntukan berkaitan sangat jelas dalam perlembagaan kerajaan negeri.

“Di bawah perlembagaan, kuasa untuk melantik anggota ‘ex-officio’ Exco termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada Sultan,” kata Aziz.

“Tetapi baginda (Sultan) perlu mempertimbangkan nama-nama yang dipersembahkan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan, dan sebelum baginda melakukannya, Sultan mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi semalam, Khalid berkata, beliau kesal kerana Sidek yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa semalam.

No comments: