Monday, February 14, 2011

"Anda (Dr Siew) tidak jujur"

Sankara : Dr Siew Berbohong


KUALA LUMPUR 14 Feb.: Perbicaraan kes fitnah ke-2, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersambung petang ini menyaksikan peguambela Sankara Nair terus menyoalbalas pakar Patologis Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng.

Berdasarkan keterangan awal, saksi kedua Dr Siew menyatakan tiada ujian dilakukan keatas semen yang dijumpai pada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah semen sebenar.

Menurut Sankara, tiada dalam laporan kimia menyatakan ujian tersebut dilakukan ke atas bahan bukti tersebut.

Tambahnya, Dr Siew membuat analisa berdasarkan laporan perubatan yang tidak lengkap.

"Anda hanya berdasarkan laporan tidak lengkap dan membuat kesimpulan ada panetrasi," ujar beliau.

Namun tuduhan tersebut ditolak pakar patologis itu.

Justeru peguambela turut membangkitkan isu bekas yang digunakan untuk menyimpan spesimen yang diambil daripada Saiful tidak 'tamper proof.

Mahkamah kemudian didedahkan dengan contoh bekas spesimen yang digunakan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dr Siew turut menjelaskan kepada mahkamah cara spesimen disimpan dalam bekas tersebut selain tandatangan diturunkan oleh beliau dan pengadu.

Berdasarkan keterangan Dr Siew, spesimen yang diambil daripada pengadu telah disimpan selama 48 jam sebelum diserahkan kepada jabatan kimia daripada tarikh pengadu Saiful hadir ke HKL iaitu pada 28 Jun 2008.

Seterusnya Dr Siew menjelaskan beliau menerima laporan tersebut daripada jabatan kimia pada 11 Julai dan membaca laporan tersebut pada 13 Julai 2008.

Dalam pada itu, mahkamah diberitahu bahawa Dr Siew turut mengambil sampel daripada mulut dan lidah pengadu kerana Saiful diarah melakukan seks oral ketika kejadian.

Sankara berkata adalah penting bagi seorang doktor untuk mengambil sampel daripada dubur pengadu kerana ianya melibatkan kes liwat.

"Panetrasi dubur amat penting tapi anda (Dr Siew) hanya mengambil sampel daripada mulut dan lidah," ujar Sankara.

Peguambela kemudian terus mempersoalkan protokol asas yang dilakukan oleh mana-mana pakar.

Sankara kemudian menyatakan bahawa saksi Dr Siew mengemukakan jawapan secara selektif dan bersikap bias terhadap tertuduh.

"Anda (Dr Siew) tidak jujur di dalam mahkamah dengan cuba menyembunyikan sesuatu yang menyebelahi Datuk Seri Anwar. Anda hanya menyatakan perkara yang prejudis terhadap anak guam saya," tambah Sankara lagi.

No comments: